Sadio Mane menikmati hidup "senang" bersama Liverpool kerana adanya kualiti yang dimiliki oleh Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

Bintang Senegal itu merupakan penjaring terbanyak Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tujuh gol dan merupakan antara yang terbaik menerusi persembahan secara keseluruhan buat The Reds.

Statistik daripada Opta menunjukkan Mane telah melakukan 21 hantaran utama, berbanding 14 daripada Salah dan Firmino, dan ketepatan untuk mencari rakan sepasukan di segenap ruang padang jauh mengatasi pemain-pemain lain.

Dia turut antara yang paling banyak melakukan terjahan -- Mane dengan 14, Firmino tujuh dan Salah tiga -- serta paling banyak melakukan pintasan hantaran pasukan lawan (9-1-1).

Tetapi Mane berkata dia dapat menampilkan persembahan cemerlang buat pendahulu liga itu hasil daripada usaha yang dipamerkan Firmino dan Salah.

"Saya sentiasa berkata bekerjasama adalah cara terbaik," kata Mane kepada majalah rasmi Liverpool FC. "Secara peribadi, saya berasa bertuah kerana bermain dalam kalangan pemain terbaik.

"Setiap pemain yang bergandingan dengan mereka akan berasa senang kerana Salah dan Firmino adalah pemain yang berkualiti dan mereka membuat segala-galanya menjadi mudah."

Mane percaya bahasa global bola sepak membenarkan kelancaran antara barisan penyerang Jurgen Klopp itu.

"Kami semua datang dari negara yang berbeza dan bercakap menggunakan bahasa yang berbeza. Tetapi saya berasakan bola sepak adalah satu bahasa dan ia adalah universal dan semua boleh bertuturnya. Ia adalah sama buat Salah, Firmino dan saya."

Liverpool akan berdepan Crystal Palace di Selhurst Park dalam saingan EPL Sabtu depan sebelum menghadapiNapoli dalam saingan Liga Juara-Juara pada Rabu berikutnya.