Mohamed Salah percaya Liverpool mempunyai semua kualiti untuk menjulang trofi pertama sejak 2012.

Pemain Mesir itu dalam prestasi terbaik musim ini dengan golnya ketika menentang Bournemouth kelmarin memastikan dia menjadi pemain pertama The Reds yang menyumbat 20 gol sebelum Krismas sejak era Ian Rush.

Liverpool belum memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak 1990 dan trofi terakhir mereka adalah Piala Liga Inggeris (EFL), lima tahun lalu.

Salah, bagaimanapun, yakin bahawa Jurgen Klopp berada di ambang untuk membawa beberapa kejuaraan ke Anfield.

"Sebagai sebuah pasukan, saya tahu kami tidak memenangi EPL dalam jangka masa yang panjang, jadi saya mahu memenanginya bersama Liverpool," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab itu.

"Kami mempunyai pasukan dan pengurus yang hebat, jadi semuanya bagus di kelab ini -- saya pasti kami boleh memenangi trofi di sini bersama-sama."

Salah mendedahkan Liverpool menunjukkan minat untuk menandatanganinya sebelum perpindahannya ke Chelsea lagi pada Januari 2014.

Walaupun Salah tidak menyerlah di Stamford Bridge, dia berasakan pengalaman itu menjadikannya seorang pemain yang lebih baik.

Tambahnya: "Wujud minat daripada Liverpool ketika saya memilih Chelsea tetapi saya fikir jika saya tiba pada masa itu, mungkin saya tidak akan menjadi seperti hari ini.

"Namun, saya berhijrah ke Chelsea dan mengubah pendekatan dan saya kini berada di Liverpool pada masa yang tepat.

"Apabila saya pergi ke sesuatu tempat, saya selalu mengatakan kepada diri saya: 'Saya harus belajar dari sini' -- dan saya sedar, 100 peratus saya banyak belajar di Chelsea, saya belajar bagaimana untuk menjadi lebih profesional serta menjadi manusia dan pemain yang lebih baik.

"Ia adalah satu langkah besar dalam kerjaya saya dan saya mempunyai hubungan yang baik dengan pemain di sana -- dan anda dapat melihatnya ketika kami bermain di Anfield baru-baru ini," tambahnya.