Pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, menyifatkan Tottenham terlalu memberikan tumpuan untuk beraksi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) sehingga mereka hilang fokus kepada tugas dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Spurs membenam Stoke City 5-1 di Wembley untuk melonjak ke tangga kelima liga, di atas Arsenal dan Burnley, dengan perbezaan jaringan tetapi masih ketinggalan 15 mata kepada pendahulu liga, Manchester City, yang bakal berdepan Manchester United, malam ini.

Ketika mereka bergelut mencari aksi yang konsisten dalam saingan domestik, Spurs cemerlang di Eropah, dengan `menjuarai Kumpulan E di depan Real Madrid untuk mara ke pusingan seterusnya.

Ia merupakan nasib yang berbeza buat mereka berbanding musim lalu apabila gagal menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik, tetapi merupakan pencabar terdekat Chelsea dalam persaingan takhta liga.

"Kami sangat kecewa pada musim lalu kerana Spurs cemerlang dalam saingan EPL tetapi mengharungi waktu sukar beraksi dalam UCL," katanya.

"Spurs mahu membuktikan kami mampu bersaing di Eropah tetapi dicampurkan dengan EPL, ia telah mengganggu tumpuan pemain.

"Tetapi kami kini sudah boleh memberikan tumpuan kepada saingan EPL," tambahnya.