Rundingan pinjaman Bale ke Spurs babit gaji tinggi 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 September 2020 1969
 Rundingan pinjaman Bale ke Spurs babit gaji tinggi 
Gareth Bale mungkin akan membuat perpindahan sensasi kembali ke Tottenham, akui ejen bintang Real Madrid itu. 

Bintang Wales itu dipinggirkan dalam skuad utama Madrid oleh pengurus Zinedine Zidane, di sebalik pernah menjulang kelab ibu kota Sepanyol itu dalam empat kejayaan Liga Juara-Juara (UCL). 

Pemain berusia 31 tahun itu meninggalkan Spurs untuk berkelana ke Madrid pada September 2013 dengan bayaran yuran termahal di dunia, €100 juta ( RM489.3j).

Tottenham dilaporkan dalam perbincangan untuk mengikat semula Bale secara pinjaman dengan tawaran gaji lumayan sekitar £600,000 (RM3.1j ) seminggu. 

 

Begitupun, ejen pemain sayap itu, Jonathan Barnett, menyatakan peluang kembali beraksi di kelab utara London itu sekali lagi akan menjadi pilihan pelanggannya.

"Gareth masih mencintai Spurs," katanya kepada BBC Sport Wales. "Di sinilah dia mahu berada."

Manchester United sering dikaitkan dengan Bale ketika dia mewarnai LaLiga.

Bale dilabel tidak begitu sesuai dengan profil usia pemain yang cenderung ditandatangani oleh The Red Devils, namun dia mungkin dipandang sebagai pilihan alternatif memandangkan usaha membawa bintang muda Borussia Dortmund dan England, Jadon Sancho, ke Old Trafford tidak kesampaian. 

Rakan sepasukan Bale, iaitu bek kiri, Sergio Reguilon, turut dikaitkan dengan United dan Spurs.

Minggu lalu, pengurus Tottenham, Jose Mourinho, menyatakan keinginannya untuk menandatangani penggempur baru menjelang aksi pembukaan musim menentang Everton pada hujung minggu lalu, sehubungan itu kehadiran Bale pastinya akan menjadi dorongan yang tepat untuk mereka bangkit daripada kekecewaan 0-1 di laman sendiri. 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen