Fikiran Danny Rose dalam keadaan jelas untuk kembali dalam kesebelasan utama Tottenham Hotspur, namun aksi dengan Liverpool hujung minggu ini terlalu cepat buat pertahanan England itu.

Pemain bek kiri itu menghabiskan 10 bulan lalu di tepi padang ekoran kecederaan lutut sebelum membuat kemunculan singkat ketika seri 1-1 dengan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL), minggu lalu.

Sebelum ini, Rose mencetuskan kontroversi apabila mengkritik urusan perpindahan Spurs -- dengan mencabar kelab itu menandatangani pemain yang dia "tidak perlu Google".

Tetapi, pengurus, Mauricio Pochettino, gembira perkara itu sudah dilupakan apabila mereka bersiap untuk menghadapi skuad kendalian Jurgen Klopp di Wembley.

Bos Spurs itu berkata: "Dia gembira, kelakuannya juga hebat. Anda dapat lihat dia membantu pasukan dalam beberapa minit terakhir ketika menentang Real Madrid.

"Fikirannya adalah jelas selepas apa yang berlaku pada masa lalu dan kami perlu bergerak ke hadapan. Dia adalah sebahagian perancangan saya.

"Mereka masih muda dan boleh membuat kesilapan, namun perkara paling penting adalah mereka belajar daripadanya. Peminat mahu yang terbaik untuk pasukan dan Danny adalah pemain kami.

"Peminat kami hebat dan mereka menunjukkan kasih mereka terhadap kelab dan menjaga pemain kami. Dia mempunyai empat tahun lagi baki kontraknya."

Tambah Pochettino: "Dia belum bersedia untuk beraksi dalam kesebelasan utama kerana masih perlu meningkatkan kecergasan tetapi kami sangat gembira kerana dia melakukannya dengan baik dan kemungkinan untuk berada di bangku simpanan adalah penting untuk pasukan.

"Untuk berasa seperti anda terlibat semula sangat penting selepas 10 bulan diketepikan. Kini proses untuk membina dan cuba untuk mendapatkan yang lebih baik setiap hari.

"Kemudian, kami akan lihat pada Rabu depan jika ada kemungkinan untuk dia beraksi menentang West Ham dalam Piala Liga Inggeris," katanya.

Pochettino kehilangan khidmat Mousa Dembele dan Victor Wanyama, namun Ben Davies dan Georges-Kevin N'Koudou sudah kembali menjalani latihan.