Rooney yakin kembali perkuat skuad utama

Oleh Dejan Kalinic 19 Oktober 2016 0
Rooney yakin kembali perkuat skuad utama
Ketua pasukan Manchester United, Wayne Rooney, percaya dia mampu kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama dan dalam masa yang sama yakin kemampuan skuad itu mencabar kejuaraan. 

Rooney lebih kerap memanaskan bangku simpanan kebelakangan ini ekoran masalah prestasi, termasuk ketika United seri 0-0 di Liverpool, pagi Selasa lalu. 

Pemain berusia 30 tahun itu berasakan dia akan kembali merebut tempat -- jika dia mengambil peluang untuk menonjolkan dirinya. 

"Sudah tentu saya mahu bermain. Saya hanya perlu teruskan usaha dan merebut tempat," ujar Rooney. 

"Saya pasti peluang saya akan tiba, kemudian terpulang kepada saya. Saya perlu cuba dan melakukan tugas untuk pasukan serta menanti peluang saya. 

"Saya mahu bermain dalam setiap perlawanan, namun sudah jelas ia terpulang kepada pengurus dan saya menghormatinya. 

"Saya bersedia apabila diperlukan. Saya akan mencecah usia 31 tahun minggu depan, masih banyak yang boleh saya tawarkan. 

"Saya membuat persediaan seperti biasa kerana jika bermain dalam skuad utama, saya akan bersedia dan tidak akan memberi sebarang alasan apabila diperlukan."

Rooney percaya Manchester United masih berpeluang merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) sekalipun menghuni tangga ketujuh dan ketinggalan lima mata di belakang Manchester City dan Arsenal. 

"Saya percaya kami akan mencabar gelaran musim ini. 

"Kepercayaan kami semakin kuat selepas bekerja di bawah pengurus (Jose Mourinho) dan pemain-pemain dalam beberapa bulan ini. 

"Kami mempunyai skuad hebat yang bersedia dan mampu bersaing."

Tentang Penulis

Dejan Kalinic

Komen