Wayne Rooney mengakui dia bukanlah penyudah semula jadi sambil mengharapkan Harry Kane dapat mengatasi rekodnya sebagai penjaring terbanyak England.

Sepanjang karier yang dilimpahi piala, dia telah melepasi penanda aras yang diletakkan Bobby Charlton di Manchester United mahupun England.

Pemain itu meledak 253 kali dalam 559 penampilan bersama The Red Devils selain meraikan 53 gol dalam 120 penampilan di peringkat antarabangsa.


Namun, Rooney berasakan dia seharusnya mencetak lebih banyak gol dalam kariernya dan memberi isyarat bahawa penyerang Tottenham, Kane -- yang memiliki 32 koleksi gol luar biasa dalam 45 perlawanan bersama skuad Three Lions -- untuk mengatasi rekodnya bersama pasukan kebangsaan.

"Saya akan bersikap jujur -​​- dan pengakuan ini mungkin mengejutkan anda -- tetapi saya bukan pencetak gol semula jadi," tulisnya di ruangan Sunday Times.

"Saya mencipta rekod jaringan dengan Manchester United dan England, justeru saya sangat bangga dengan perkara itu -- tetapi ada penggempur yang lebih baik daripada saya.

"Bagaimana saya memahat nama sebagai pemegang rekod sekiranya saya bukanlah seorang penyerang tulen. Masa. Saya mewakili United selama 13 tahun, England selama 15 tahun. Saya mempunyai masa yang panjang untuk memecahkan rekod itu -- dan mengimbau semula semua itu saya sepatutnya menyumbat lebih banyak gol lagi.

"Saya tidak fikir ia akan mengambil masa yang lama untuk Harry Kane menuntut merakamkan rekod jaringan baru England dan ini akan menjadi detik yang membanggakan buat saya.

"Dia tidak pernah menjadi pemain yang mementingkan diri sendiri dan adalah sangat bagus buat England untuknya mencapainya rekod itu.. Bobby Charlton harus menunggu 50 tahun (untuk memecahkan rekod England) -- untuk saya, saya harap ia tidak begitu lama.

"Rekod di United mungkin bertahan lebih lama berikutan pemain tidak kekal lama.

"Harus diingatkan, jika Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo datang ke Old Trafford untuk mencipta gemilang, maka mereka mungkin akan mencapainya dalam tiga atau empat tahun!"

Rooney, yang kini menjadi pemain merangkap jurulatih bersama pasukan Kejuaraan, Derby County, telah memenangi 12 trofi utama ketika bersama United.

Dia meninggalkan Old Trafford untuk kembali ke Everton pada musim 2017-18 dan sempat berkelana ke DC United dalam saingan MLS sebelum bergabung dengan Derby.