Rooney: Saya akan tamatkan karier di AS 

Oleh Penulis Jemputan 14 November 2018 381
Rooney: Saya akan tamatkan karier di AS 

Wayne Rooney menolak sebarang langkah pinjaman ke Liga Perdana Inggeris (EPL), Januari depan, dan bercadang untuk menamatkan kerjayanya di Amerika Syarikat (AS).

Rooney menyertai DC United pada Jun lalu dan membantu membawa pasukan itu daripada terperosok di tangga tercorot Persidangan Timur untuk mara ke babak play-off yang menyaksikan DC tumpas dalam pusingan pertama kepada Columbus Crew.

Menjelang musim rehatnya sekarang, pemain berusia 33 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan jangka pendek ke England, begitupun dia tidak mempunyai keinginan itu kerana berhasrat meluangkan masa bersama keluarganya.

"Saya fikir sebaik memuktamadkan keputusan untuk berpindah ke AS, saya cenderung untuk kekal dengan hasrat itu. Adalah penting untuk saya memberikan komitmen penuh kepada DC," katanya.

"Wujud hasrat untuk meminjam khidmat saya di sini (dalam Liga Perdana) tetapi saya tidak bersedia untuk melakukannya. Keluarga saya selesa di sana (AS), anak-anak saya bersekolah di sana dan tidak adil untuk mereka berpindah."

Rooney menandatangani kontrak selama tiga setengah tahun apabila meninggalkan Everton dan percaya ia akan menjadi destinasi terakhirnya dalam kerjaya yang penuh gemilang yang menyaksikan dia memenangi lima mahkota Liga Perdana, Piala FA dan gelaran Liga Juara-Juara sepanjang 13 tahun berkhidmat di Manchester United.

Tambahnya: "Saya akan menamatkan kerjaya saya di sana (di AS)."

Rooney, penjaring terbanyak England, bakal membuat penampilan antarabangsa ke-120 dan terakhirnya dalam perlawanan persahabatan menentang skuad AS pada Jumaat ini dengan hasil kutipan tiket perlawanan itu akan disalurkan ke yayasan amalnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen