EVERTON 3 SWANSEA 0

Wayne Rooney menuntut peningkatan karakter dalam kebangkitan Everton selepas dia menjaringkan gol di laman sendiri ke atas Swansea City, awal pagi tadi.


Sepakan penalti Rooney memastikan kemenangan 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park itu biarpun sebelum itu, Dominic Calvert-Lewin menyumbat bola muntah sepakan penaltinya yang telah diselamatkan.

Everton ketinggalan menerusi gol Leroy Fer sebelum berjuang untuk merakamkan kemenangan keempat dalam lima perlawanan liga, rekod tanpa kalah sejak pengumuman Sam Allardyce sebagai pengganti Ronald Koeman.

Dan Rooney membuktikan kepada bos Everton baru itu yang berjaya mengubah nasib kelab berkenaan apabila The Toffees kini melonjak ke tangga kesembilan EPL.

"Kami tidak dapat bermain seperti biasa," kata Rooney kepada Sky Sports.

"Bagaimanapun, kami menunjukkan watak hebat untuk kembali -- empat minggu lalu kami akan kehilangan rentak.

"Kami bergerak ke arah yang betul dan diharapkan dalam tempoh perayaan Krismas ini, kami boleh meraih lebih banyak mata.

"Ada perkara-perkara kecil yang kekurangan dalam bahagian pertama musim ini. Apabila ketinggalan, kami berasakan tidak mampu untuk bangkit.

"Kini (Everton) semakin mantap, terus berjuang serta mengekspresikan diri. Itulah yang kami usahakan di tempat latihan," tambahnya.

Walaupun Rooney memainkan peranan di bahagian tengah dan bukannya sebagai penggempur utama, dia telah mengumpul enam gol dalam lima perlawanan terakhir liga.

Bekas kapten England itu turut memberi umpanan kepada Gylfi Sigurdsson ketika membenam pasukan lamanya itu.

"Saya fikir ia adalah posisi yang tepat untuk saya di peringkat ini dalam kerjaya saya," tambah Rooney.

"Saya boleh memilih masa yang tepat untuk masuk dalam kotak penalti dan keperluan untuk mengawal permainan.

"Saya tahu saya boleh bermain di situ dan menjaringkan gol, itulah yang saya lakukan dalam beberapa minggu lalu.

"Saya tidak pernah menetapkan sasaran dalam mana-mana musim, saya hanya bermain dalam permainan seterusnya. Kadang-kadang anda mendapat peluang meledakkan gol sambil mengharapkan ia akan berterusan.

"Bukan lagi rahsia bahawa lebih kerap saya beraksi, kecergasan saya semakin bagus, saya gembira di sini dan memenangi perlawanan," katanya lagi.