Rooney: Pengadil buat keputusan tepat

Oleh Penulis Jemputan 11 Disember 2017 2086
Rooney: Pengadil buat keputusan tepat
Wayne Rooney mempertahankan keputusan sepakan penalti yang diberikan kepada Everton di Liverpool apabila berjaya membantu pasukan meraih keputusan seri 1-1, semalam.

The Toffees bertahan sepanjang perlawanan 'derby' Merseyside itu tetapi Anfield kekal menjadi kawasan yang sukar apabila Liverpool gagal untuk meraih kemenangan selepas Mohamed Salah membuka jaringan pada separuh masa pertama.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu mendominasi perlawanan dan membazirkan banyak peluang hingga Dejan Lovren melakukan kesilapan menjatuhkan Dominic Calvert-Lewin dan pengadil, Craig Pawson, memberikan sepakan penalti.

Rooney tenang mencetak gol pertamanya dalam saingan 'derby' ini tetapi memiliki pendapat yang berbeza berbanding Klopp yang berang dengan keputusan yang diambil oleh Pawson.

"Ia adalah mata yang berharga buat kami. Liverpool adalah pasukan berkualiti dan memiliki pemain-pemain yang unik," kata Rooney.

"Kami menyedari kesukaran menghadapi perlawanan ini dan kami perlu bersabar. Kami bertahan dengan baik. Kami mempunyai dua atau tiga peluang yang seharusnya disempurnakan.

"Ini merupakan perlawanan yang penting dan saya berbangga kerana dapat mencetak gol berdepan Liverpool," tambahnya.

Keputusan ini melonjakkan skuad kendalian Sam Allardyce ke tangga ke-10, enam mata bebas daripada kelompok tiga tercorot.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen