EVERTON 4 WEST HAM 0

Kapten Everton, Wayne Rooney, menyifatkan jaringan ketiganya ketika bertemu West Ham United mungkin menjadi gol terbaiknya.


Penjaga gol, Joe Hart, cuba mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya, namun bekas pemain Manchester United itu berjaya membaca gerakan tersebut dan melepaskan rembatan daripada separuh padang untuk melengkapkan hatriknya.

Ini merupakan hatrik pertamanya bersama Everton dan Rooney tidak berselindung dengan kegembiraannya selepas membantu pasukan meraih kemenangan 4-0 ke atas West Ham."Ia mungkin jaringan terbaik saya," kata Rooney. "Saya tidak rasa dapat melakukan seperti itu sekali lagi. Menjaringkan hatrik buat Everton, saya sangat gembira."

Rooney membuka jaringan selepas sepakan penalti yang diambilnya berjaya diselamatkan sebelum menampan semula ke dalam gawang gol pada minit k-18. Selang 10 minit kemudian, Rooney menjaringkan gol kedua bagi memberi keselesaan buat Everton mendahului perlawanan.

Bersambung pada babak kedua, Everton memastikan tiga mata diraih hasil hatrik Rooney dan jaringan daripada pertahanan, Ashley Williams.

"Ia merupakan kemenangan yang sangat penting selepas mengharungi minggu-minggu yang sukar.

"Saya telah berlatih mengambil sepakan penalti menentang Hart dan saya menyedari bola akan kembali ke arah saya jika Hart berjaya menampan percubaan tersebut dan masih boleh menewaskannya. Dia berjaya menampan dengan baik tetapi saya sangat bersyukur kerana ia kembali ke arah saya

"Kami amat gembira di atas kemenangan ini. Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada David Unsworth (pemangku jurulatih). Beliau hadir ketika waktu sukar dan cuba mengemudi pasukan ini," tambahnya.

Ia bukan jaringan istimewa daripada Rooney, dengan sepakan gunting buat United ketika menentang City pada 2011 telah diundi menjadi gol tercantik dalam tempoh 20 tahun pertama Liga Perdana Inggeris (EPL).