Pengurus Everton, Sam Allardyce, menyifatkan Wayne Rooney berada dalam kelas tersendiri walaupun gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Everton menundukkan Brighton and Hove Albion 2-0, lewat malam tadi.

Aksi di Goodison Park itu menyaksikan The Toffees melepaskan banyak peluang dalam babak pertama sehingga Gaetan Bong menjaringkan gol sendiri untuk memberikan pendahuluan kepada tuan rumah.

Rooney beraksi selaku pemain tengah bertahan dan memberikan impak kepada Everton, yang membolehkan Cenk Tosun menggandakan kelebihan jaringan buat pasukan.

Bagaimanapun, sepakan penalti yang diraih anak didik Allardyce gagal dimanfaatkan Rooney apabila tendangannya diselamatkan penjaga gol Brighton, Mat Ryan, tetapi penjaring terbanyak sepanjang zaman England itu tetap meraih pujian pengurus berusia 63 tahun itu.

“Satu aksi yang hebat diberikan Rooney untuk saya. Hantarannya telah menggerakkan pasukan dengan lancar dalam setiap babak perlawanan.

“Saya rasa satu-satunya perkara yang mengecewakan kami adalah kualiti penyudah di depan gol lawan tetapi mujur ia dapat diperbaiki dalam separuh masa kedua,” kata Allardyce.

“Gol kedua kami adalah hasil daripada permainan menarik Tosun. Aksi lincah Dominic Calvert-Lewin juga sangat bagus sehingga memberikan kami sepakan penalti.

“Kesal apabila melihat Rooney tidak dapat mencatat jaringan tetapi secara keseluruhannya, kami bermain dengan baik dan dia antara nadi penting pasukan.”

Sementara itu, pengendali Brighton, Chris Hughton, tidak mempertahankan Anthony Knockaert walaupun dilayangkan kad merah akibat terjahan dua kaki terhadap Leighton Baines.

“Saya tidak bercakap dengan Knockaert. Sudah tentu saya akan menemuinya tetapi tiada apa yang ingin saya pertikaikan,” ujar Hughton.