Penyerang Everton, Wayne Rooney, mencapai tahap kecergasan yang diinginkan untuk berdepan Burnley.

Rooney bermain selama 90 minit dan menjaringkan gol ketika Everton terikat 2-2 dalam saingan Liga Europa (UEL) berdepan Apollon Limassol di Goodison Park, awal pagi semalam.

Tetapi bekas pengendali England itu terpaksa membalut tangan dan menelan ubat penahan sakit dalam separuh masa pertama selepas mengalami kecederaan tangan selepas dipijak oleh pemain lawan.Setelah diuji dan dinilai, ia telah disahkan bahawa tiada kecederaan serius dialami dan Rooney, yang diberikan lampu hijau untuk menghadapi Burnley.

Namun, gandingan pertahanan Michael Keane (kecederaan kaki) dan Phil Jagielka (masalah hamstring) masih lagi tidak dapat dipastikan.

"Rooney telah menjalani ujian ke atas tangannya dan ia telah memberikan tanda positif untuk dia diturunkan beraksi," kata pengurus, Ronald Koeman.

"Saya berharap ia berita baik untuk kami bagi menghadapi saingan seterusnya. Kami perlu membuat keputusan mengenai Keane dan Jagielka sama ada mereka dapat diturunkan ataupun tidak pada Ahad ini.

"Sangat penting buat pasukan untuk memiliki setiap pemain berada pada tahap terbaik kerana setiap pemain memiliki kualiti tersendiri," katanya.

Everton masih dalam usaha untuk meningkatkan semula semangat pasukan selepas seri dengan Apollon, yang meletakkan mereka di tangga tercorot dalam Kumpulan E.

Permulaan musim Liga Perdana Inggeris yang hambar turut meletakkan Koeman dalam kedudukan yang tertekan.

"Saya sudah terlalu lama dalam bidang ini untuk berada dalam keadaan tertekan, tetapi ya, situasi ini amat merisaukan dan kami perlu mencari jalan untuk mengubahnya.

"Saya memiliki tahap keyakinan yang sama untuk menjadi pengurus yang sama seperti enam atau tujuh tahun yang lalu. Kami akan berusaha untuk memastikan Everton mencari kemenangan dalam perlawanan seterusnya," katanya lagi.