WEST BROM 4 BURNLEY 0

Peningkatan prestasi Salomon Rondon mendapat pujian pengurus West Brom, Tony Pulis, selepas penyerang itu meledak gol dalam kemenangan 4-0 pasukan itu ke atas Burnley dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Pemain berusia 27 tahun yang dibeli dari kelab Zenit pada Ogos tahun lalu itu menjaringkan gol keempat untuk menyempurnakan persembahan bertenaga di The Hawthorns untuk membolehkan Baggies mendaki ke tangga kesembilan.

Pulis mendedahkan kemahiran komunikasi Rondon telah membantunya untuk menyesuaikan diri di West Brom susulan prestasi terumbang-ambing pada tahun pertamanya.

"Dia lebih menyerlah tahun ini dan saya berasa ia disebabkan kemahirannya berbahasa Inggeris, dia lebih menguasai bahasa Inggeris," kata Pulis kepada BBC Sport.

"Dia kini berasa selesa bersama pasukan di mana sebelum ini jika dia pergi ke kantin, dia sering memerlukan Claudio Yacob (Yac) di sampingnya. Jika orang bercakap tentang sesuatu perkara, Yac akan menjelaskannya, jadi ia membuatkan dia agak terpinggir.

"Sekarang, bahasa Inggerisnya semakin bagus, anaknya sudah ke sekolah, mereka bercakap menggunakan bahasa Inggeris. Isterinya juga berbahasa Inggeris.

"Jadi, semua orang di sekelilingnya telah membantunya menyesuaikan diri.

"Kelab ini gigih untuk memastikan dia dapat menyesuaikan diri dan dalam bilik persalinan, kami mahu dia turut berperanan dalam kumpulan. Saya sangat-sangat berbesar hati dengan dia."

Baggies menyumbat tiga gol pada separuh masa pertama -- dan boleh menjaringkan lebih gol lagi -- bagi menambah derita pelawat menerusi jaringan trio Scotland, Matt Phillips, James Morrison dan Darren Fletcher.

Burnley yang diasak hebat, bagaimanapun, mencipta satu peluang menerusi Jeff Hendrick ketika perlawanan masih lagi dengan keputusan 1-0.

Cubaan untuk Burnley bangkit nyata sia-sia apabila gagal menyekat West Brom yang meraih kemenangan berturut-turut buat julung kalinya.