WEST BROM 3 SWANSEA CITY 1

Jaringan hatrik Solomon Rondon dalam tempoh 13 minit memastikan West Brom melakar kemenangan 3-1 ke atas Swansea City dengan pemain itu melakar rekod baru dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.


Penyerang Venezuela itu muncul pemain kedua dalam sejarah Liga Perdana Inggeris untuk meledak hatrik menerusi tandukan -- sesuatu yang tidak pernah dilakukan selain Duncan Ferguson yang beraksi bersama Bolton Wanderers pada tahun 1997.

Gol pertama Rondon -- yang berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan -- hadir selepas penyerang berusia 27 tahun itu berjaya menyudahkan sepakan percuma Matty Phillips pada minit ke-50.

Tandukan keduanya tiba pada minit ke-61 sebelum melengkapkan hatrik dua minit kemudian.

Gol sagu hati Swansea City hadir pada minit ke-78 hasil sumbangan Wayne Routledge.

Sementara itu, pengendali West Brom, Tony Pulis, memuji aksi pemainnya yang berjaya menghasilkan kemenangan ke-100 kelab itu di pentas Liga Perdana Inggeris.

Pulis turut terkejut dengan jaringan hatrik Rondon.

"Ketiga-tiganya dihasilkan menerusi tandukan yang cukup cantik. Kami sangat berpuas hati dengan sumbangan Rondon, apatah lagi terpaksa berhempas-pulas sebelum itu," Pulis memberitahu BBC Sport.

"Pemain tidak mendapat rehat yang mencukupi, dalam separuh masa pertama, pemain kelihatan letih.

"Tetapi pada 20 minit pertama dalam babak kedua, ketika itulah saya melihat pemain saya beraksi dengan permainan sebenar.

"Setiap tonggak utama pasukan mula mempamerkan aksi sebenar, kemenangan ini sangat penting buat kami.

"Bagaimanapun, kami perlu fokus bagi menghadapi perlawanan seterusnya yang kami jangkakan satu perlawanan yang sukar."

Kemenangan tersebut turut meletakkan West Brom kembali menduduki kelompok tujuh terbaik liga menjelang aksi seterusnya berdepan Manchester United.