Pertahanan Real Madrid, Marcelo, menyifatkan Cristiano Ronaldo adalah pemain terbaik dunia.

Baru sahaja meraih Ballon d'Or yang kelima, Ronaldo meledak dua gol ketika Real menewaskan Sevilla 5-0 dalam saingan LaLiga, kelmarin.

Ronaldo dan bintang Barcelona, Lionel Messi, telah meraih lima bola emas tetapi Marcelo tidak meragui siapa pemain terbaik.

"Pada saya, Ronaldo adalah pemain terbaik dunia," katanya.

"Saya tidak pernah melihat Diego Maradona atau Pele beraksi. Bagaimanapun, tiada pemain yang boleh dibandingkan, setiap pemain memiliki keistimewaan tersendiri."

Kemenangan ke atas Sevilla melonjakkan kedudukan Real ke tangga ketiga, lima mata ketinggalan kepada Barcelona.

Marcelo gembira dengan persembahan skuad Zinedine Zidane serta menyambut baik kehadiran muka baru pada Januari ini.

"Saya sangat gembira beraksi bersama Real walaupun mengetahui terdapat pemain-pemain baru yang bakal menyertai kami."