Bekas bintang Barcelona, Ronaldinho, berkata juara LaLiga itu mengagumi kebolehan Philippe Coutinho dan mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat penyerang Liverpool itu.

Coutinho telah dikaitkan dengan perpindahan ke Barca selepas meninggalkan Inter untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Liverpool.

Pemain berusia 24 tahun itu -- yang direhatkan kerana mengalami kecederaan buku lali sejak November -- masih memiliki kontrak sehingga 2020 tetapi Pemain Terbaik Dunia dua kali itu memberitahu Barca sedang memantau prestasi pemain kebangsaan Brazil itu.

"Saya berharap Coutinho kembali pulih daripada kecederaan dan meneruskan prestasi cemerlang yang dipamerkan sejak menyarung jersi Liverpool," kata Ronaldinho.

"Dia merupakan antara pemain di Eropah yang menyerlah musim ini -- dan saya tahu Barcelona berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Liverpool akan cuba untuk menyimpannya, mereka telah membina sebuah pasukan dan Coutinho merupakan aset utama mereka."

Coutinho telah menjaringkan lima gol dalam saingan EPL dan Liverpool menduduki tangga kedua menjelang aksi 'boxing day' berdepan Stoke City.