Pertahanan Manchester United, Marcos Rojo, kembali ke pangkuan kelab Argentina, Estudiantes, menerusi perjanjian pinjaman jangka pendek.

Rojo, yang hampir menyertai Everton pada hari terakhir perpindahan awal musim ini, berdepan kesukaran untuk membarisi skuad utama United musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu, yang ditandatangani dengan kontrak bernilai £16 juta (RM85.6j) daripada Sporting CP pada 2014, akan meninggalkan Old Trafford dan kembali ke Estudiantes -- di mana dia memulakan kerjayanya -- sehingga akhir musim ini.

Mampu beraksi sebagai pertahanan tengah atau kiri, Rojo sering bergelut di United dengan membuat 76 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Estudiantes, yang menduduki tempat ke-12 dalam Superliga Argentina, mengumumkan kesepakatan itu sejurus ia dimeterai dengan menyiarkan video di Twitter rasmi mereka yang bertajuk: "Anda akan kembali ke tempat di mana anda berasa bahagia. Oleh kerana anda berasa seperti sebahagian daripada kelab ini, maka (hubungan ini akan menjadi) lebih utuh.

"Impian anda dan keluarga Pincha telah menjadi kenyataan, kami telah dipertemukan semula. Selamat datang dan terima kasih kerana datang semula Marcos, kami mengalu-alukan kehadiran anda dengan sepenuh hati kami."

Selasa lalu, pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, mengharapkan agar Rojo kekal sebelum jendela perpindahan berakhir hari ini.

Estudiantes pada awal bulan ini turut mengikat Javier Mascherano.



Editor: Shaiful Shamsudin