Pemain tengah Manchester City, Rodri, tidak berputus asa dengan usaha meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris walaupun selepas tewas 3-1 di tangan Liverpool dan menjadikan kegagalan The Reds mengekalkan pendahuluan musim lalu sebagai pemangkin semangat.

Kemenangan di Anfield itu membolehkan Liverpool kini sembilan mata mengatasi City, pasukan yang dilihat selaku pencabar jangka panjang mereka.

Banyak pihak berasa City kini berdepan tugas berat untuk mengekalkan kejuaraan tetapi mereka juga berdepan situasi sama musim lalu.

Walaupun Rodri masih belum bersama kelab itu pada waktu itu, pemain Sepanyol itu tahu bagaimana City bangkit daripada ketinggalan tujuh mata di belakang The Reds untuk menjulang trofi liga buat kali kedua berturut-turut bagi musim 2018-19.

Apabila ditanya jika kekalahan di Anfield itu menamatkan peluang City meraih kejuaraan liga, Rodri memberitahu wartawan: "Tentu sekali tidak. Pasukan ini telah membuktikannya beberapa kali sebelum ini.

"Pasukan ini telah memenangi Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut dan ia bukan satu kebetulan. Pasukan ini telah meraih penghormatan dan dipertimbangkan untuk perebutan trofi liga.

"Musim lalu, City ketinggalan tujuh mata di belakang -- dan ia mampu menjadi 10 mata jika tewas dalam pertemuan Januari lalu -- tetapi akhirnya memenangi liga.

"Kami dalam bulan November. Masih banyak perlawanan yang ada. Liverpool sangat kuat ketika ini dan mereka melakukan segala-galanya dengan betul. Lihat nanti di masa akan datang."

Rodri juga berpendapat Liverpool bernasib baik meraih tiga mata dalam aksi kelmarin dan City merupakan pasukan yang lebih bagus dalam pertemuan itu.

"Mereka lebih tajam berbanding kami, saya fikir itu faktor utama. Saya fikir kami lebih bagus secara keseluruhan," tambahnya.

"Kami mencipta lebih banyak peluang tetapi mereka hadir ke depan gawang tiga kali dan menyumbat tiga gol."

Bek kiri City, Angelino, yang menyinar dalam penampilan pertama dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris, kesal dengan kegagalan City menggunakan segenap peluang yang ada sambil berkata kekalahan 3-1 sangat kejam buat juara bertahan itu.

"Saya fikir begitu," katanya ketika ditanya sama ada City patut meraih keputusan lebih baik.

"Kami mencipta banyak peluang, berkesempatan untuk kembali bersaing dalam perlawanan tetapi malangnya kami gagal menggunakannya.

"Kami bermain dengan baik, mencipta banyak peluang. Kami hanya melepaskan tiga peluang buat Liverpool tetapi berdepan pasukan seperti mereka, jika diberikan peluang, mereka akan menggunakannya.

"Kami memiliki lebih banyak peluang berbanding mereka tetapi akhirnya kami tidak menggunakannya. Kami gembira dengan persembahan kami.

"Saya rasa seluruh pasukan berjuang sehingga tamat permainan. Kami memberikan segala-galanya dan jika kami terus beraksi seperti di Anfield, kami akan mencapai perkara hebat."