Rodri mengatakan "kekasaran taktikal" merupakan antara aspek bola sepak yang dia sedang asah sejak menyertai Manchester City.

Pemain tengah itu yang tiba daripada Atletico Madrid, Julai lalu, tampil dalam semua lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk skuad bimbingan Pep Guardiola itu setakat ini.

Tahun lalu, Guardiola lantang membantah dakwaan bekas kapten Manchester United, Gary Neville, bahawa City sengaja melakukan kekasaran untuk menjejaskan tempo permainan lawan.

"Kami hanya cuba beraksi, tentu saja kadangkala kami perlu melakukan kekasaran. Tidak pernah lagi pasukan yang saya kendalikan memberi tumpuan untuk membuat sesuatu kekasaran terhadap lawan," kata Guardiola.

"Kami cuba untuk menyerang, bermain tetapi tidak pernah melakukannya demi mematahkan apa yang lawan cuba lakukan. Ia tidak pernah berlaku sepanjang saya beraksi dan tidak akan berlaku dalam kerjaya saya sebagai pengurus kerana saya memahami permainan dalam pendekatan yang berbeza."

Selepas City menumpaskan West Ham 5-0, Ogos lalu, bekas pengurus City, Manuel Pellegrini, membangkitkan jumlah kekasaran yang sengaja dilakukan oleh pasukan kendalian Guardiola itu.

Justeru, Rodri mengesahkan bahawa dia telah melakukan 'kekasaran taktikal', serta aspek lain untuk memainkan peranan sejak tiba di Manchester.

"Saya fikir ia adalah satu cabaran besar buat saya kerana tidak pernah memainkan seumpama ini," kata Rodri kepada ESPN FC.

"Saya tidak mempunyai peranan yang khusus dalam pasukan ini.

"Kami mempunyai ramai pemain yang gemar menyerang dan banyak pasukan lain yang cuba melancarkan serangan balas dan banyak masa anda akan bersendirian tetapi ia bagus buat saya.

"Saya sedang belajar perkara baru, bagaimana hendak mara, ketika saya ditinggalkan, apabila saya perlu melakukan kekasaran taktikal dan bilakah saya perlu melompat.

"Ia bagus buat saya mempelajari perkara ini dan untuk pasukan ini. Bagus kerana kami memerlukan pemain yang menyerang bagi membolehkan kami mengamalkan rentak permainan kami."