Kemampuan Mikel Arteta yang luar biasa dalam mengatasi tekanan di Arsenal dan menunjukkan 'keberanian' pada permulaan kariernya sebagai pengendali pasukan tersebut mencuri tumpuan Brendan Rodgers.

Leicester City berdepan skuad kendalian Arteta dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi esok.

Mereka mengatasi Arsenal 2-0 November lalu ketika pasukan dibimbing Unai Emery sebelum Arteta mengambil alih The Gunners bulan berikutnya.

Arsenal telah memenangi empat perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan menjelang pertembungan Leicester di Stadium Emirates, dan pengendali The Foxes, Rodgers telah terkesan dengan usaha yang dipamerkan Arteta.

"Saya berasakan Mikel telah melakukannya dengan sangat baik sejak dia bersama pasukan," kata Rodgers, yang pasukannya berada di tangga ketiga.

"Dia masuk ke sebuah kelab dengan harapan yang besar, yang dia mengetahui selok belok pasukan kerana dia pernah mewakili kelab itu. Ia merupakan tugas pertamanya sebagai ketua jurulatih dan saya berasakan bagaimana dia menghadapinya setakat ini sangat baik.

"Daripada perspektif taktikal, dia menjelaskan bagaimana mereka mahu bermain. Gaya, anda dapat melihatnya.

"Itu bukan gaya yang mudah untuk diterapkan dan dilaksanakan, terutama di kelab yang juga ingin menjadi pencabar liga.

"Keberaniannya sejak dia masuk, ingin mengembangkan lagi pasukan. Mereka bermain dengan beberapa sistem yang berbeza tetapi gayanya selalu sama.

"Itu adalah sesuatu yang baik untuk masa depan pasukan dan baginya."

Leicester telah menyatakan James Maddison dan Ben Chilwell dijangka tidak dapat diturunkan dalam perlawanan seterusnya, dengan Chelsea dan Manchester United kini telah berusaha untuk mengejar slot empat terbaik liga.

Kemenangan 3-0 Sabtu lalu ke atas Crystal Palace mengakhiri empat perlawanan tanpa kemenangan sejak saingan bersambung dan Rodgers mempunyai keyakinan menjelang lima perlawanan terakhir kempen ini.

Ditanya apakah pasukannya mampu menyelesaikan tugas untuk layak ke kancah Liga Juara-Juara (UCL), Rodgers berkata: "Tidak ada keraguan.

"Kami telah menunjukkan lebih daripada 33 perlawanan bakat yang dimiliki pasukan.

"Kami akan berjuang hingga ke wisel terakhir untuk menamatkan saingan di tempat terbaik."