Brendan Rodgers menegaskan beliau "sangat gembira" di Leicester City di tengah-tengah spekulasi Arsenal mahu melantiknya sebagai pengurus baru.

Pengurus kelahiran Ireland Utara itu telah dilaporkan sebagai pilihan terbaik Arsenal untuk mengambil alih tugas Unai Emery, yang dipecat Jumaat lalu selepas permulaan musim yang hambar.

Rodgers baru sahaja mengemudi The Foxes, Februari lalu dan tidak membazirkan masa terlalu lama untuk menerapkan pendekatannya bersama pasukan itu.

Beliau merupakan faktor di sebalik permulaan cemerlang Leicester musim ini, menghuni tangga kedua dengan meraih 10 kemenangan daripada 14 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) setakat ini.

Bercakap selepas skuad kendaliannya meraih kemenangan ke atas Everton, Ahad lalu, Rodgers telah memberikan bayangan bahawa dirinya memiliki klausa perpindahan dalam kontraknya.

Bagaimanapun, beliau mengambil langkah untuk membisu terhadap jawatan yang terbuka di Stadium Emirates, malah mendedahkan perancangan jangka panjang dimiliki buat dirinya bersama Leicester.

"Saya memiliki kontrak sehingga 2022 -- dan saya menyedari pengurus mula kehilangan tugas mereka -- tetapi kelab tidak memberikan bayangan bahawa mereka mahu memecat saya," kata Rodgers.

"Saya berasakan mereka berpuas hati dengan hasil yang telah diusahakan dan seperti yang saya katakan, saya sangat gembira dan tidak memiliki sebarang alasan untuk berhijrah.

"Saya berpandangan sesuatu yang logik mampu memberitahu anda -- saya menyedari tugas anda tidak selalunya logikal, hadirnya gosip serta spekulasi -- tetapi mengapa saya mahu meninggalkan Leicester City ketika ini?

"Saya bekerja bersama kumpulan pemain-pemain muda yang memiliki potensi untuk berkembang dengan lebih baik.

"Saya telah ditanya mengenai kontrak saya, bercakap mengenai klausa dan sebagainya dan saya memberikan jawapan yang jujur dan ia adalah syarat-syarat yang sama dengan pengurus lain.

"Saya ulangi saya sangat gembira di sini. Saya berasakan terdapat ruang untuk kami berkembang bagi beberapa musim akan datang. Kami akan berpindah ke fasiliti latihan yang baru.

"Saya juga memiliki hubungan yang sihat dengan setiap individu dalam kelab ini dan berasakan mahu terus kekal bersama pasukan."

Rodgers berharap untuk meraih kemenangan ketujuh berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika berdepan Watford, awal pagi Khamis ini.