BOURNEMOUTH 4 LEICESTER 1

Brendan Rodgers membidas Leicester City selepas dibelasah Bournemouth 1-4 selain melabelkan prestasi pasukannya sebagai "sukar untuk ditelan".


Dalam misi kekal di kedudukan empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), Leicester terlebih dahulu di depan menerusi Jamie Vardy sebelum rebah.

Junior Stanislas kemudian menyempurnakan sepakan penalti disusuli gol Dominic Solanke dan jaringan sendiri Jonny Evans sebelum tuan rumah bertambah parah apabila Caglar Soyuncu di perintah meninggalkan padang.

Leicester berdepan tergelincir ke tangga kelima seandainya Manchester United menundukkan Southampton awal pagi esok.





Rodgers ternyata berang dengan persembahan anak buahnya, yang hanya memenangi sekali daripada tujuh perlawanan sejak musim ini bersambung semula bulan lalu.

"Kami tidak boleh berasa senang hati di dalam bilik persalinan kerana ia sesuatu yang tidak dapat diterima untuk mencapai tahap seperti ini tatkala kami bekerja keras," kata pengurus Leicester City itu kepada LCFC TV.

"Seperti yang saya katakan, ia berkenaan dengan sikap. Kami tidak menunjukkan semangat yang tepat dan itu adalah sesuatu yang kami perlu pamerkan secara tekal. Tetapi, ia sangat mengecewakan.

"(Menghadapi Sheffield United awal pagi Jumaat ini) akan menjadi satu cabaran besar buat kami kerana kami perlu menunjukkan tahap fizikal dan mental yang lebih tinggi. Ia akan menjadi ujian yang sangat baik.

"Kami meraih keputusan hebat di Bramall Lane pada awal musim ini dan ketika ini, kami benar-benar harus menunjukkan semangat dan berusaha untuk bangkit."


Selepas menjadi tuan rumah kepada Sheffield United, The Foxes perlu menghadapi Tottenham dan Manchester United sebelum mengakhiri musim ini.

Justeru, Rodgers meminta maaf kepada peminat kelab atas prestasi pasukannya sambil meratapi persembahan anak buahnya dalam babak kedua.

"Pertama sekali, saya ingin meminta maaf kepada penyokong. Saya rasa saya tidak pernah melakukan hal seperti ini sepanjang saya di sini," katanya.

"Selalunya kami akan pasukan yang sukar untuk ditentang, baik daripada segi mental dan fizikal, tetapi tumbang seperti berdasarkan prestasi kami dalam babak kedua adalah sangat mengecewakan."