Andy Robertson tidak mahu Lionel Messi mendekati Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas spekulasi mengenai masa depan ketua pasukan Barcelona itu semakin lantang dibangkitkan.

Minggu lalu, Messi menggoncangkan dunia apabila memaklumkan kepada Barca bahawa dia ingin meninggalkan gergasi Catalan itu sementara Manchester City menjadi pasukan pilihan untuk menyambar khidmatnya.

Penggempur itu tidak melaporkan diri bagi persiapan pra-musim di bawah kendalian Ronald Koeman minggu ini kerana percaya terdapat klausa dalam kontraknya yang membolehkannya berpindah secara percuma sebaik ia diaktifkan.

Namun, Barca dan LaLiga berpendapat klausa pelepasan sebanyak €700 juta (RM3.4b) dalam kontraknya yang akan bertahan sehingga Jun tahun depan itu perlu dipenuhi agar dia boleh menjadi ejen bebas.

Bapa dan ejen bintang antarabangsa Argentina itu, Jorge Messi, tiba di pangkalan kelab tersebut bagi membincangkan prospek anaknya meninggalkan LaLiga dan semalam, memberi isyarat bahawa anaknya mungkin kekal di Camp Nou.

Perkembangan itu menarik pertahanan Liverpool, Robertson, yang tidak ingin melihat pemain berusia 33 tahun berkenaan beralih ke City.

"Dari sudut pandangan yang benar-benar mementingkan diri sendiri, saya harap ia tidak berlaku, semoga dia terus berada di Barca," kata bek kiri Scotland itu ketika ditanya mengenai kemungkinan pemain lincah berkenaan akan mencuba nasib di EPL.

"Dia salah seorang jika bukan pemain terbaik di dunia sekalipun jadi apabila dia menyertai pencabar terdekat kami, ia mungkin bukan satu petanda yang baik. Dia seorang pemain yang hebat, tidak syak lagi jika dia datang ke mari, maka dia akan memperagakan kualiti, semangat dan segalanya daripada Barca.

"Saya rasa Liverpool telah menolak spekulasi bahawa kami akan menandatanganinya, jadi saya tidak mahu dia berada datang ke EPL dan semoga ia kekal seperti itu.

"Tetapi kami akan mengambil sikap tunggu dan lihat.

"Mudah-mudahan Barca mampu menyelesaikan kemelut mereka. Sekiranya dia berhijrah ke EPL, kami akan menghadapinya dan ia sangat bagus buat pemain-pemain lain berpeluang menghadapinya.

"Saya pernah dua kali menentangnya dan ia adalah perlawanan yang paling sukar bagi saya.

"Anda perlu terus mengawasinya setiap saat, dia boleh muncul entah dari mana.

"Dia merupakan pemain yang hebat, mungkin yang terbaik tetapi semoga dia akan kekal di Sepanyol demi saya."