Bintang Everton, Richarlison, memohon maaf atas terjahannya terhadap Thiago Alcantara ketika aksi derby Merseyside.

Richarlison dilayangkan kad merah pada minit ke-90 ketika seri 2-2 di Goodison Park, melakukan terjahan keras terhadap perancang Liverpool, Thiago, yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketiadaannya hampir menghukum Everton apabila Jordan Henderson menyumbat gol pada masa kecederaan, hanya dinafikan oleh VAR yang membatalkan jaringan tersebut kerana Sadio Mane berada dalam kedudukan ofsaid.

Ketika temubual pasca-perlawanan, Jurgen Klopp mencadangkan darjah kecederaan dialami Thiago masih tidak diketahui, namun mendedahkan, "Ia tidak kelihatan baik."



Richarlison menerusi laman web rasmi kelab, memohon maaf kepada Thiago dengan berkata, "Semua orang mengetahui latar belakang saya dan mengetahui saya bukan seorang pemain yang ganas.

"Apa yang berlaku hari ini adalah semata-mata berdedikasi untuk kemenangan pasukan. Saya tidak berniat untuk mencederakan Thiago.

"Ketika saya melihat bahawa perlanggaran itu akan berlaku, Saya mengangkat kaki dan terkena pada lututnya, sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kepantasan permainan.

"Saya telah menghantar mesej kepadanya meminta maaf dan saya juga melakukannya di sini secara terbuka. Saya harap kecederaannya tidak serius dan semuanya baik-baik sahaja.

"Saya juga meminta maaf kepada rakan sepasukan, kelab dan penyokong kerana meninggalkan pasukan beraksi dengan 10 pemain pada penghujung permainan."


Di sebalik kecederaan yang mungkin dialami Thiago, Liverpool turut bimbang dengan masalah yang dihadapi Virgil van Dijk, yang terpaksa meninggalkan padang selepas diasak oleh Jordan Pickford yang terlepas daripada sebarang hukuman.