Pengurus Everton, Carlo Ancelotti, membuat tuntutan tinggi terhadap penyerangnya, Richarlison, di sebalik hanya menyumbangkan enam gol Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Penyerang Brazil itu, yang berada di Everton sejak 2018, bakal membuat penampilan ke-100 buat The Toffees menentang Aston Villa, awal pagi esok.

Richarlison menemui sentuhan dalam empat perlawanan liga berturut-turut pada Februari dan Mac lalu, namun gagal mengekalkan tahap prestasinya.

Dalam dua musim pertamanya di Goodison Park, dia menghasilkan 13 gol berturut-turut sementara persembahannya mulai hambar sejak musim lalu di sebalik mereka menamatkan saingan di tangga kelapan.

"Dia tidak begitu tekal dengan kualiti yang dimilikinya," kata Ancelotti.

"Saya masih boleh terima bahawa dia tidak berada di tahap terbaik.

"Dia menghadapi masalah pada awal musim. Dia bermula dengan baik kemudian saingan ditangguhkan, penyertaannya dalam pasukan kebangsaan selain masalah peribadi.

"Dia tidak selalu berada di puncak fizikal dan ia mempengaruhi prestasi teknikalnya.




"Dia mengharungi musim yang baik ketika Dominic Calvert-Lewin tersisih tetapi dia pasti dapat melakukan yang lebih baik lagi pada musim depan, malah saya harap dia dapat melakukan yang lebih baik pada hujung musim ini.

"Dia merupakan pemain muda yang bermotivasi tinggi kerana dia gemar beraksi untuk kami, pasukan kebangsaan dan dia mahu tampil dalam Sukan Olimpik. Tetapi kami tidak boleh ketepikan hakikat bahawa dia masih pemain muda.

"Ketika saya mengatakan dia mampu melakukan yang lebih baik, ia bukan kerana dia kehilangan kepercayaan diri atau tidak cukup bagus.

"Dia adalah seorang penyerang yang hebat, pemain berkelas tinggi dan dia telah menjalani musim yang normal. Tetapi untuk kualiti yang dia miliki, dia masih mampu melakukan banyak hal dengan lebih baik lagi."