Pemain tengah Chelsea, Danny Drinkwater, mempertahankan Jose Mourinho selepas pengendali dari Portugal itu dikatakan mempamerkan aksi bola sepak yang negatif.

Bagi pemain England itu, rekod kejayaan yang dimiliki oleh pengurus Manchester United itu sebelum ini membolehkan dirinya diangkat sebagai salah seorang pengurus terbaik di dunia.

Chelsea dan United akan beraksi di Stamford Bridge pada Ahad ini dan selepas 10 perlawanan, skuad kendalian Jose Mourinho itu kini menghuni tangga kedua liga hasil daripada tujuh kemenangan.

Bagaimanapun, corak taktikal bertahan yang diterapkan telah membuatkan Mourinho dikritik, namun Drinkwater percaya kejayaan bekas pengurus Real Madrid itu sebelum ini tetap tidak boleh diketepikan.

"Saya seorang pemain, jadi saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu.

"Rekod kejayaan yang dimiliki Mourinho menceritakan segala-galanya. Dia mempunyai reputasi tinggi dan diharapkan kami mampu mengatasinya pada Ahad.

"United memiliki kekuatan yang penuh tetapi kami harus mendapatkan tiga mata dan ia melibatkan musim yang panjang," kata Drinkwater.

Dalam masa sama, Drinkwater tidak menafikan sokongan hebat daripada Antonio Conte membuatkannya terus berjuang untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan selepas menyertai The Blues dari Leicester City, musim panas lalu.

"Conte sangat hebat sejak saya menyertainya di sini.

"Saya suka caranya mengurus pasukan dan ia membuatkan saya bangga menjadi sebahagian pasukan.

"Tidak disangkal bahawa Conte adalah pengurus berkelas dunia dan mampu mengatasi tekanan dalam kelab besar seperti Chelsea," tambahnya.