Pep Guardiola berkata mana-mana kelab 'bimbang' jika Real Madrid atau Barcelona bertanyakan mengenai salah seorang bintang mereka selepas terdapat spekulasi melibatkan Raheem Sterling dengan Los Blancos.

Dalam satu temubual dengan syarikat penerbitan Sepanyol semalam, penyerang City, Sterling, meluahkan minatnya kepada Real berikutan khabar angin mengenai potensi untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu.

Pemain kebangsaan England itu turut kelihatan mengangkat jersi kedua-dua pasukan, yang bakal mereka bertemu dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dalam pusingan 16 minggu hadapan.

Dalam sidang media menjelang aksi City berdepan Leicester City, Guardiola menegaskan tidak meragui komitmen Sterling.

Bagaimanapun, beliau mengakui mana-mana pasukan resah jika Real atau Barca mula membuat panggilan.

"Semua pasukan mengetahui apabila Real Madrid atau Barcelona mengetuk pintu rumah anda, mana-mana kelab akan mula berasa resah dan bakal berdepan masalah," kata Guardiola.

"Mereka mungkin adalah pasukan terkuat berdasarkan sejarah, ia adalah satu perkara yang biasa dan memahaminya.

"Namun anda boleh melihat sendiri komitmen Sterling terhadap pasukan.

"Usahanya di atas padang, ketika menyerang dan bertahan, menjadikan dirinya salah seorang pemain terbaik dunia."
Guardiola sendiri turut dikaitkan bakal meninggalkan City selepas kelab digantung selama dua tahun daripada menyertai Liga Juara-Juara (UCL) oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) kerana melanggari peraturan Financial Fair Play (FFP).

Ketika City masih dalam proses untuk melakukan rayuan menafikan dakwaan UEFA itu, Guardiola enggan mengulas mengenai potensi buat dirinya meninggalkan kelab dan menjelaskan komitmennya terhadap pasukan.

"Saya bertugas bersama barisan pemain yang berkualiti dan sangat gembira berada di sini," katanya lagi.