Tottenham Hotspur gagal dalam ikhtiarnya untuk merayu agar kad merah Son Heung-min ditarik balik.

Penyerang Spurs itu telah diarah keluar padang selepas minit ke-62 ketika tewas 2-0 di Stadium Tottenham Hotspur berikutan insiden melibatkan pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger.

Heung-min kelihatan menendang Rudiger dan menerusi video bantuan pengadil (VAR), pengadil perlawanan, Anthony Taylor, mengambil keputusan untuk melayangkan kad merah.

Pengendali Spurs, Jose Mourinho, menjelaskan kelab itu akan berusaha untuk melakukan rayuan dan pemain kebangsaan Jerman itu telah menggunakan situasi tersebut dengan sebaik mungkin -- dakwaan yang ditolak oleh bekas pemain bimbingannya di Chelsea, Frank Lampard.

Persatuan Bolasepak England (FA) mengesahkan semalam hukuman terhadap Heung-min dikekalkan. Ia bermakna bekas pemain Bayer Leverkusen itu bakal terlepas aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Brighton and Hove Albion, Norwich City dan Southampton.

Dalam 23 penampilan sepanjang musim ini, Heung-min telah menjaringkan 10 gol buat Tottenham.