Manchester United mengesahkan Marcus Rashford sudah boleh meningkatkan proses pemulihan kecederaan belakangnya selepas imbasan ke atas masalah itu menunjukkan tanda positif.

Bintang England itu tersisih untuk memperkuatkan United sejak dilanda masalah berkenaan dalam kemenangan aksi timbal balik pusingan ketiga Piala FA ke atas Wolves, 15 Januari lalu.

Timbul kebimbangan bahawa pemain berusia 22 tahun itu berkemungkinan akan terlepas baki musim ini termasuk Kejohanan Euro 2020 sebelum diputuskan ditangguhkan ke tahun depan.


Dengan bola sepak hampir sepenuhnya ditangguhkan akibat pandemik koronavirus baru (Covid-19), penjaring terbanyak United musim ini dengan 22 gol itu mungkin berpeluang untuk kembali beraksi jika musim ini diteruskan.

Semalam, United berkata: "Kami mengesahkan bahawa Marcus Rashford telah dibenarkan untuk meningkatkan program pemulihannya berikutan tanda-tanda positif dalam imbasan terbarunya. Kemajuannya akan terus dipantau oleh pasukan perubatan kelab sepanjang tempoh perintah pergerakan terhad ini.

"Rashford telah bekerja keras dalam pemulihannya di bawah pemantauan kakitangan perubatan di Kompleks Latihan Aon sebelum pandemik koronavirus memaksa semua individu di kem The Red Devils bekerja secara individu di rumah."

Bercakap kepada Sky Sports minggu lepas, Rashford berkata dia kini berasakan "10 kali lebih baik".

"Saya kini hanya perlu bersiap sedia untuk mengikuti semula latihan kemudian beraksi di samping pasukan," katanya.

"Saya berada di tempat yang lebih baik. Saya lebih bahagia daripada sebulan yang lalu, jadi situasi kelihatan positif."