Marcus Rashford mampu mencapai tahap yang sama seperti Kylian Mbappe termasuk memenangi Ballon d'Or, menurut bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Matteo Darmian.

Rashford menikmati musim paling produktif daripada segi gol pada 2019-20 apabila meledak 19 kali buat The Red Devils walaupun diketepikan sejak Januari lalu akibat kecederaan belakang.

Kelibat pemain antarabangsa England itu mula mencuri perhatian di bawah kendalian Louis van Gaal pada 2016 apabila mencetak dua dua gol menerusi penampilannya dalam Liga Europa dan Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah bakatnya diperkenalkan melalui akademi kelab.

Darmian, bagaimanapun, tidak terkejut dengan perkembangan berterusan pemain berusia 22 tahun itu setelah menyaksikan dari dekat betapa bagusnya penyerang berkenaan.

"Bagaikan semalam, saya masih ingat lagi sesi latihan pertama Marcus Rashford dengan skuad senior. Saya segera berfikir, 'wah, dia seorang pemain yang luar biasa'," katanya kepada Guardian.

"Dia melakukan banyak perkara yang mengagumkan bagi pemain seusianya dan cara dia bertambah baik dalam setiap perincian permainnya begitu mengagumkan saya."

Pemain pertahanan Itali itu, yang kembali ke tanah air September lalu dengan menandatangani kontrak dengan Parma, berasakan tonggak antarabangsa England tersebut masih boleh menjadi pemain yang lebih baik.

Darmian berasakan Rashford berpotensi untuk menandingi bintang Paris Saint-Germain (PSG), Mbappe, dan mereka mungkin bakal bersaing untuk merebut gelaran individu dalam tahun-tahun mendatang.


"Sekiranya dia terus berusaha seperti yang dilakukannya selama ini, dia boleh menjadi pemenang Ballon d'Or. Saya yakin akan hal ini," katanya.

"Dia paling mengagumkan saya dalam kalangan semua pemain di United dan dia masih sangat muda dan boleh meningkat. Bagi saya, dia boleh mencapai tahap seperti Kylian Mbappe dan bersaing merebut Ballon d'Or selama bertahun-tahun yang akan datang."

Bek itu sempat beraksi di bawah kendalian Van Gaal dan Jose Mourinho ketika di Old Trafford termasuk pengurus semasa, Ole Gunnar Solskjaer.

"Saya hanya dapat mengungkap perkara yang baik mengenai Solskjaer, percayalah," katanya mengenai pengurus dari Norway itu.

"Kalau saya, saya pasti akan menawarkannya kontrak jangka panjang.

"Dia sudah cukup bersedia untuk menguruskan Manchester United bagi memulakan projek ini, perjalanan ini, menerusi sokongan banyak pemain muda, pemain Britain dan mereka akan meneruskan projek ini.

"Saya mengenali (kemampuannya), saya harap Solskjaer akan berjaya."