Bintang Manchester United, Marcus Rashford, menyiarkan surat peribadi kepada parlimen untuk meminta pemerintah United Kingdom (UK) itu agar terus menyediakan makanan percuma untuk kanak-kanak yang terjejas.

Rashford telah membantu badan amal FareShare untuk mencapai matlamatnya dalam usaha menyediakan makanan kepada tiga juta golongan kurang berkemampuan di UK pada hujung bulan ini di sebalik penularan COVID-19.

Kerajaan UK mahu menghentikan skim baucar makanan itu, yang diwujudkan bagi menjamin makanan kepada anak-anak tatkala sekolah yang ditutup sejak Mac lalu, pada bulan depan.




Penyerang United dan England itu mengutuskan surat terbuka kepada anggota Dewan Rakyat UK bagi memohon skim berkenaan dilanjutkan.

"Pihak pemerintah telah mengambil pendekatan 'apa sahaja yang diperlukan' terhadap ekonomi -- hari ini saya memohon anda supaya meluaskan hasrat yang serupa demi melindungi kanak-kanak di seluruh England yang terjejas," tulis pemain berusia 22 tahun itu.

"Saya menggesa anda supaya mendengar permintaan mereka dan mempunyai sikap belas kasihan. Harap anda boleh pertimbangkan semula keputusan untuk membatalkan skim baucar makanan sepanjang cuti musim panas ini dan menjamin ia akan diteruskan. Ini adalah England pada 2020 dan masalah ini memerlukan perhatian segera.

"Tolonglah, ketika semua perhatian tertumpu kepada anda, tarik balik keputusan itu dan sila lindungi kehidupan orang yang paling tidak bernasib baik yang sepatutnya menjadi keutamaan."