Kisah dongeng kejayaan Leicester City menjuarai Liga Perdana buat kali pertama musim lalu mendapat pengiktirafan dalam undian Ballon d'Or 2016 anjuran majalah France Football, dengan Riyad Mahrez dan Jamie Vardy dinamakan dalam ranking 10 teratas anugerah yang dimenangi Cristiano Ronaldo.

Penyerang Algeria, Mahrez, dan penyerang England, Vardy, masing-masing mengisi ranking ketujuh dan kelapan, mengatasi nama-nama besar seperti Paul Pogba, Zlatan Ibrahimovic dan Robert Lewandowski.

Pasangan The Foxes itu mendapati diri mereka berada di belakang tonggak Real Madrid, Gareth Bale, di tangga keenam selepas memenangi Liga Juara-Juara dan membantu Wales mara ke separuh akhir Kejohanan Eropah.

Pemain-pemain veteran, Pepe dan Gianluigi Buffon, berkongsi kedudukan kesembilan hasil persembahan cemerlang bersama pasukan kebangsaan masing-masing dalam Euro 2016.

Selepas mempertahankan kejuaraan Serie A bersama Juventus, Buffon, 38, menambat perhatian dengan kejayaan Itali ke suku akhir, dan hanya tewas kepada Jerman melalui penentuan sepakan penalti.

Pepe, sesudah menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid, kemudian membantu Portugal dan Ronaldo untuk memenangi Euro 2016.

Ranking akhir 6-17 Ballon d'Or:

6. Gareth Bale (Real Madrid)
7. Riyad Mahrez (Leicester City)
8. Jamie Vardy (Leicester City)
9. Pepe (Real Madrid)
9. Gianluigi Buffon (Juventus)
11. Pierre-Emerick Aubameyang (Borussia Dortmund)
12. Rui Patricio (Sporting CP)
13. Zlatan Ibrahimovic (Manchester United)
14. Arturo Vidal (Bayern Munich)
14. Paul Pogba (Manchester United)
16. Robert Lewandowski (Bayern Munich)
17. Dimitri Payet (West Ham)
17. Luka Modric (Real Madrid)
17. Toni Kroos (Real Madrid)