COPENHAGEN 0 LEICESTER CITY 0

Claudio Ranieri tetap berpuas hati biarpun Leicester City dipaksa seri tanpa jaringan dengan Copenhagen dalam saingan Liga Juara-Juara.


Keputusan awal pagi tadi itu menamatkan rekod 100 peratus kemenangan The Foxes dalam pertandingan itu, malah turut menangguhkan peluang mereka untuk mara ke pusingan berikutnya selepas dipaksa bekerja keras, di mana Ranieri menganggap mata yang dipungut ke atas juara Denmark itu tetap positif.


Ketangkasan Kasper Schmeichel pada penghujung perlawanan dengan menutup ruang percubaan Andreas Cornelius pula memastikan Copenhagen tersingkir daripada saingan ini.

"Copenhagen bermula dengan baik seperti yang kami jangkakan," kata beliau. "Kami bermain lebih baik pada separuh masa kedua selepas mengubah formasi kepada 4-4-2.

"Ia pungutan mata yang baik ketika bermain di tempat lawan dengan menentang sebuah pasukan hebat. Mereka melakukan banyak hantaran silang di mana kami berhasil menyekatnya dan Kasper Schmeichel melakukan aksi menyelamat yang penting pada penghujung perlawanan.

"Kami beraksi lebih baik pada separuh masa kedua, namun kami gagal mencipta umpanan terakhir. Beberapa kali aksi menarik terhasil dalam pertembungan di udara."

Sekalipun tercicir mata, Leicester kekal di puncak Kumpulan G dengan 10 mata, namun Ranieri tidak bercadang untuk membiarkan pemain-pemainnya cepat berpuas hati.

"Mata yang dipungut ini bagus tapi belum memadai," tambah beliau. "Porto merapatkan jurang kepada tiga mata di belakang kami. Takdir di tangan kami dan kami akan berkunjung ke Brugge selepas ini."