LEICESTER CITY 0 EVERTON 2

Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri, mengakui segala-galanya kini tidak betul dengan juara Liga Perdana Inggeris itu selepas mereka tewas 2-0 kepada Everton sehari selepas Krismas.


The Foxes tewas buat kali kedua di tempat sendiri tahun ini kepada gol-gol Kevin Mirallas dan Romelu Lukaku.

Ia menyaksikan skuad Ranieri hanya sedikit di atas zon relegasi di tangga ke-16 – jauh berlawanan dengan kedudukan mereka ketika lima bulan pertama tahun 2016 dengan menduduki kelompok teratas dalam perjalanan menuju kejuaraan menakjubkan.

Pengurus berbangsa Itali itu tidak dapat mengelak daripada menyorot perubahan nasib mereka.

“Segala-galanya tepat buat kami sepanjang enam bulan pertama tahun ini dan kini segala-galanya tidak betul. Kami perlu berjuang,” katanya.

"Ia satu perlawanan yang sukar (dengan Everton). Kami tahu itu tapi kami menguasai dan permainan adalah seimbang.

“Tiba-tiba dari satu sepakan jauh penjaga gol mereka, kami lewat bertindak balas dan mereka menjaringkan gol.

“Selepas itu, kami agak gemuruh dan mereka mengambil alih penguasaan.

"Tiada apa yang betul, tiada apa yang mudah tapi kami perlu terus bekerja keras dan memberi tumpuan kepada perkara-perkara kecil sekalipun. Kami perlu bertindak balas secepat mungkin kerana itu adalah penawar buat kami.

"Kami perlu bersatu sebagai sebuah pasukan. Kami mahu memberikan hadiah kepada penyokong (sempena Krismas) tapi ia tidak berlaku dan kami akan mencuba dalam perlawanan berikutnya (menentang West Ham pada Sabtu).”

Sementara itu, Ronald Koeman memuji persembahan pemain-pemainnya sebagai usaha menyeluruh sepasukan.

“Kami tahu ia satu perlawanan sukar berdepan Leicester di tempat lawan. Namun, kami bermain dengan baik. Dalam separuh masa kedua, kami jauh lebih baik,” pengurus berbangsa Belanda itu memberitahu BBC Sport, dengan pasukannya kini mendaki ke tangga ketujuh.

“Anda perlu memuktamadkan perlawanan dan kami melakukannya dengan gol Romelu. Ia persembahan sepasukan yang baik.”