Claudio Ranieri berkata pemain Leicester City mesti berjuang untuk membuktikan mengapa mereka berhak untuk terus kekal bersama pasukan sebelum dia memikirkan jendela perpindahan pemain yang akan dibuka pada Januari depan.

Juara Liga Perdana Inggeris itu dilihat bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, di mana mereka kini menduduki tangga ke-16 dalam liga dan kemudian dibelasah oleh Porto 5-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Rabu lalu.

Selepas layak ke pusingan kalah mati UCL, Ranieri merombak barisan pemainnya yang menyaksikan ia berkesudahan dengan kekalahan yang memalukan itu.

Tetapi pengendali dari Itali itu menjelaskan pemain yang berada di bangku simpanan perlu memiliki peluang untuk mempertahankan masa depan mereka -- walaupun jendela perpindahan pemain akan menjelang tidak lama lagi.

"Setiap orang di dalam kelab mempunyai kerjaya dan sudah pasti bahagian pengambilan pemain sedang menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin," katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan menjelang perlawanan menentang Manchester City esok.

"Mereka hanya menunggu saya untuk mengatakan: 'OK, sekarang saya perlu ini, ini dan ini'. Sehingga itu, saya ingin menyemak dahulu prestasi pemain saya.

"Kami perlu berjuang. Hanya pemain yang mahu berjuang sehingga akhir akan kekal bersama saya."

Ranieri mempertahankan keputusannya untuk membuat perubahan ketika bertemu kelab dari Portugal itu, dan mempercayai Leicester telah memperolehi sesuatu yang bermakna ketika berada di kedudukan teratas selepas lima perlawanan.

"Saya melakukan perubahan ini kerana saya boleh melakukannya -- Guardiola juga membuat perubahan," katanya.

"Jadi mengapa tidak melakukan perubahan apabila pemain anda mula kepenatan? Mengapa tidak untuk memberi peluang kepada pemain lain menunjukkan apa yang mereka boleh lakukan?

"Sekarang kami perlu fokus kepada perlawanan sehingga menjelang hari Krismas. Kami perlukan mata dan kami perlu berjuang."