Pengurus Leicester City, Claudio Ranieri, telah memberitahu Riyad Mahrez supaya mengambil inspirasi daripada Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi untuk mencari semula rentak terbaiknya.

Mahrez -- Pemain Terbaik PFA dan Pemain Terbaik Afrika 2015-16 -- bergelut untuk mencari prestasi daripada musim lalu selepas membantu Leicester mengejutkan dunia dengan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain kebangsaan Algeria itu gagal menyerlah dan Leicester kembali bersaing dalam zon penyingkiran selepas tewas kepada Everton 2-0 dalam aksi sehari selepas Hari Natal.

Dalam cabaran untuk memotivasikan Mahrez menjelang pertemuan berdepan West Ham, Ranieri berkata, "Ronaldo dan Messi telah memenangi Ballon d'Or dan mereka mahu memenanginya lagi dan lagi. Mereka sentiasa melihat ke hadapan.

"Mahrez perlu melihat ke hadapan dan mempertingkatkan mutu permainannya. Sekarang dia harus cuba untuk memenangi Ballon d'Or, sama seperti pemain-pemain yang bertaraf dunia."