Ranieri gesa pemain Fulham mulakan semula

Oleh Penulis Jemputan 23 November 2018 153
Ranieri gesa pemain Fulham mulakan semula
Pengurus baru Fulham, Claudio Ranieri, memberitahu anak buahnya supaya melupakan keputusan lalu dan menyasarkan untuk mendapatkan semula rentak bagi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

The Cottagers menduduki tangga terbawah liga berbekalkan hanya lima mata daripada 12 perlawanan sehingga membuatkan Ranieri hadir menggantikan Slavisa Jokanovic.

Menjelang aksi pertamanya menentang Southampton, pengurus dari Itali itu menegaskan dia yakin dapat mengelakkan pasukannya daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan.

Ditanya mengenai fungsi kemenangan ke atas The Saints, Ranieri berkata: "Satu permulaan semula yang bersih. Hari ini, saya ingin katakan, mulakan semula dan lupakan yang lalu.

"Mesej saya untuk pasukan adalah baik tetapi kini kami harus menunjukkan semangat melawan. Tidak mudah untuk melakukan perubahan tetapi penting untuk semua bersatu mendapatkan prestasi terbaik.

"Mustahil untuk mengubah segalanya dalam sehari. Penting untuk mendapatkan mata tetapi penting juga mengekalkan pemikiran pemain untuk tidak akan pernah berputus asa, tidak kira dalam perlawanan atau seluruh musim.

"Akhirnya, saya pasti kami akan selamat," ujarnya.

Ranieri dikenali dengan nama "The Tinkerman" di permulaan kariernya tetapi pengurus berusia 67 tahun itu mendedahkan dia akan lebih bijak untuk memilih pemain di Fulham.

Dia juga menggesa pemain yang tidak terpilih dalam kesebelasan utama agar tidak berputus asa sambil merujuk waktunya di Leicester City di mana mereka mencatat sejarah menjulang trofi liga.

"Penting untuk semua pemain bersedia untuk beraksi. Saya mulakan dengan satu senarai dan akan berubah," tambah Ranieri.

"Perlu diingat sewaktu saya memulakannya di Leicester, ia tanpa N'Golo Kante, Danny Simpson dan Christian Fuchs. Secara perlahan-lahan ia berjalan lancar.

"Penting untuk pemain lain tidak berkecil hati dan berputus asa. Mereka memiliki peluang, sama seperti pemain lain dalam Liga Perdana Inggeris. Jika mereka membiarkannya, semua akan ke Liga Kejuaraan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen