CHELSEA 7 QPR 1

Chelsea membelasah Queens Park Rangers (QPR) 7-1 dalam perlawanan persahabatan semalam yang menyaksikan pemain tengah, Ruben Loftus-Cheek dan Billy Gilmour, masing-masing meledak dua gol.


Mason Mount, Willian dan Olivier Giroud turut mencetak nama selaku penjaring untuk membantu skuad kendalian Frank Lampard itu mencatat kemenangan bergaya di Stamford Bridge sebagai persiapan untuk menyambung kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).

Loftus-Cheek belum membuat penampilan senior bersama The Blues kerana dilanda masalah tumit Mei tahun lalu.

N'Golo Kante turut muncul ketika menentang pasukan Liga Kejuaraan itu biarpun bintang Perancis berkenaan hanya mula berlatih bersama pasukan minggu ini.



Kemenangan itu diraih selepas mereka tumpas 0-1 kepada Reading dalam aksi ujian secara tertutup di pangkalan latihan, Cobham.

The Blues akan meneruskan kempen liga mereka menentang Aston Villa di Villa Park, Ahad depan.

Anak buah Lampard kini di kedudukan keempat sebelum saingan musim ini ditangguhkan Mac lalu akibat krisis COVID-19.