Christian Pulisic tidak berasakan dia berada dalam tekanan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Eden Hazard bersama Chelsea sambil pemain kebangsaan Amerika Syarikat (AS) itu menegaskan dia adalah pemain berbeza.

Pemain berusia 20 tahun itu bersetuju untuk meninggalkan Borussia Dortmund dengan perjanjian bernilai €64 juta (RM295.4 juta), Januari lalu, sebelum menamatkan musim secara pinjaman dengan kelab Bundesliga berkenaan.

Pulisic kini sedang menyertai rakan sepasukannya di Chelsea dalam jelajah pra-musim dan telah melakukan penampilan pertamanya ketika kelab itu tewas kepada Kawasaki Frontale di Jepun, kelmarin.

Hazard meninggalkan Stamford Bridge untuk mengikat kontrak lima tahun dengan gergasi LaLiga, Real Madrid, bulan lalu dan walaupun beraksi di posisi yang sama dengan penyerang Belgium itu, Pulisic menegaskan dia tidak mahu dinilai berdasarkan perbandingan yang tidak dapat dielakkan itu.

"Saya berada di sini bukan untuk dibanding-bandingkan atau apa-apa sahaja," katanya kepada Sky Sports News.

"Amat jelas, Eden pemain luar biasa dan telah melakukan yang terbaik untuk kelab ini seperti yang anda dapat lihat musim lalu dan sepanjang keberadaannya dengan pasukan ini.

"Dia seorang pemain yang hebat.

"Bagi saya, saya ke sini sebagai diri saya, membuktikan sendiri kebolehan saya dan melakukan yang terbaik untuk pasukan.

"Buat masa ini, saya menyertai pasukan ini kerana mahu membantu sedaya mana yang saya mampu.

"Saya hanya mahu membawa satu keamatan dalam sesi latihan dan meraih pernghormatan terlebih dahulu.

"Selepas itu, saya mahu memberikan impak paling besar ketika di atas padang," katanya.

Pulisic berpeluang untuk meneruskan persiapannya bagi menghadapi musim 2019-20 apabila The Blues menentang Barcelona dalam perlawanan persahabatan Selasa ini.