Pengurus Southampton, Claude Puel, tidak tahu-menahu mengenai laporan yang mengaitkan kumpulan pelabur dari China yang dikenali sebagai Lander Sports Development, sedang mengadakan rundingan mengenai kemungkinan untuk mengambil alih kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.

Southampton dipercayai telah ditawarkan sebanyak GBP200 juta (RM1 bilion), begitupun Puel menegaskan beliau tidak dimaklumkan sebarang perkembangan mengenainya menjelang pertemuan Liga Europa menentang Inter Milan, awal pagi ini.

"Saya minta maaf. Kami baru menamatkan sesi latihan dan saya tidak tahu-menahu tentang perkara ini," katanya kepada pemberita.

"Saya menaruh keyakinan terhadap presiden, kesemua mereka yang berada di kelab ini untuk mengambil langkah dan membuat keputusan yang betul serta tepat.

"Saya akan kekal fokus terhadap perlawanan esok.

"Selepas itu, kita akan mempunyai masa untuk membincangkan perkara-perkara lain. Saya berpendapat ini bukan masa yang sesuai untuk kami, untuk saya bercakap mengenai perkara ini.

"Pengerusi adalah orang yang sesuai untuk menjawab persoalan ini. Saya tidak mempunyai masalah dan menaruh keyakinan terhadap pengerusi dan juga masa depan kelab ini."

Puel mengesahkan pemain antarabangsa Republik Ireland, Shane Long, bakal terlepas aksi menentang Inter ekoran masalah hamstring yang menimpanya di San Siro dua minggu lalu.

"Yang masih cedera ketika ini adalah Long, Matt Targett, Alex McCarthy, Jake Hesketh dan Harrison Reed," jelas Puel. "Jeremy Pied juga mengalami kecederaan.

"Ketika ini, ramai pemain yang tercedera, namun usaha baik kami harus diteruskan."

Puel turut melahirkan simpati terhadap nasib Frank de Boer yang dipecat Inter pada Selasa lepas, dengan jurulatih skuad remaja, Stefano Vecchi, bakal menggalas tugas sebagai jurulatih untuk pertemuan mereka nanti.