CARDIFF 0 LEICESTER 1

Pengurus Leicester City, Claude Puel, memuji "dedikasi dan tumpuan" pemainnya selepas merakamkan kemenangan 1-0 yang penuh beremosi ke atas Cardiff City dalam perlawanan pertama selepas kematian pemilik kelab, Vichai Srivaddhanaprabha.


Pemilik berusia 60 tahun itu merupakan salah seorang daripada lima yang terbunuh dalam nahas helikopter yang dinaiki gagal dikawal sejurus berlepas dari Stadium King Power selepas pasukan seri 1-1 dengan West Ham.

Jaringan Demarai Gray pada minit ke-55 menjadi pemisah di Stadium Cardiff City semalam dan Puel kagum dengan semangat pemain-pemainnya selepas mengharungi saat yang penuh tragis dalam sejarah kelab itu.

"Ia merupakan perlawanan yang sukar kerana kami kurang melakukan persediaan. Ia merupakan sangat penting buat pasukan ketika bertahan tetapi saya berasakan pasukan telah memberikan persembahan yang terbaik," katanya.

"Kami memiliki banyak peluang, kami berhak meraih keputusan tersebut dan ia adalah kemenangan untuk pengerusi kelab ini.

"Ini adalah langkah pertama dan saya berharap kami dapat meneruskannya minggu depan."

Kapten Leicester, Wes Morgan, mendedahkan pemain-pemain beraksi di bawah tekanan sebelum perlawanan tetapi memberikan komitmen penuh bagi meraih tiga mata.

"Anda dapat melihat reaksi pada penghujung permainan betapa kami mahukan kemenangan," katanya.

"Kami berasakan tekanan sebelum perlawanan tetapi kami berjaya menanganinya."