Claude Puel berpuas hati dengan persembahan Leicester City ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Tottenham dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Jamie Vardy dan Riyad Mahrez menjaringkan gol dalam babak pertama perlawanan di Stadium King Power.

Tetapi pertahanan Leicester diberikan tekanan pada penghujung permainan selepas Harry Kane mengurangkan defisit buat pasukan pelawat, termasuk percubaan yang gagal disempurnakan oleh Christian Eriksen dan Fernando Llorente manakala sepakan penalti yang tidak diberikan kepada mereka selepas Danny Rose dijatuhkan pertahanan The Foxes, Wilfred Ndidi.

Ia merupakan kali pertama Leicester menewaskan Tottenham di laman sendiri dalam saingan EPL dan Puel memberikan penghargaan ke atas usaha pemain-pemainnya.

"Saya berasakan ia adalah satu perkara yang sukar untuk menamatkan perlawanan kerana tekanan yang diberikan oleh pasukan lawan tetapi ia adalah perlawanan yang sangat baik.

"Sangat penting buat saya melihat kualiti yang berjaya ditampilkan oleh Leicester. 30 minit pertama sangat baik dan ia telah memberikan tiga mata buat pasukan," ujarnya.

Kemenangan ini membantu Leicester untuk melonjak ke tangga kesembilan tetapi Puel menegaskan kepada pemain-pemain untuk fokus meraih mata daripada melihat kedudukan pasukan dalam liga.

"Selepas ini, kami akan berdepan Burnley, ia adalah perlawanan yang sukar dan sangat penting untuk kami melakar kemenangan.

"Buat masa ini, kutipan mata menjadi keutamaan daripada kedudukan dalam saingan liga.

"Kami agak kecewa apabila perlawanan bertemu Stoke City dan West Ham berakhir dengan keputusan seri apabila kami memiliki banyak peluang untuk menang," tambahnya.