Ole Gunnar Solskjaer mengatakan kekalahan Manchester United baru-baru ini mungkin disebabkan oleh masalah di luar padang tetapi berharap penyokong dapat memberikan lonjakkan buat pasukannya bagi perlawanan menentang Fulham awal pagi esok.

The Red Devils tewas di laman sendiri dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Leicester City dan Liverpool minggu lalu dalam tempoh 48 jam di tengah-tengah tunjuk perasaan penyokong terhadap pemilik kelab.

Penyokong memaksa pertembungan awal dengan Liverpool dua minggu lalu ditangguhkan setelah berdemonstrasi di dalam dan luar Old Trafford.

United harus mengubah rancangan pra-pertandingan mereka untuk pertembungan yang diatur kembali dengan Liverpool dan kekalahan kepada Leicester untuk memastikan pemain mereka berada di stadium lebih awal sebelum sepak mula.

Solskjaer mengakui gangguan itu mempengaruhi skuadnya dan menjelang United menyambut semula kehadiran penyokongnya ke Old Trafford untuk pertama kalinya dalam 14 bulan, pengendali kelahiran Norway itu meminta perpaduan daripada pemain ke-12 mereka.


"Saya tidak mahu menggunakannya sebagai alasan kerana kami tewas dalam dua perlawanan tetapi pasti ini adalah alasan di sebalik persembahan," kata Solskjaer dalam sidang akhbar semalam.

"Saya tidak mengatakan bahawa ia tidak mempengaruhi mereka, tetapi saya kagum dengan seberapa profesional mereka dan bagaimana mereka melakukannya.

"Saya berasakan suasana di mana-mana kelab dan hubungan antara pasukan dan penyokong sangat penting untuk apa yang berlaku di atas padang.

"Para pemain adalah semuanya manusia, kita semua manusia, dan kita akan bertindak balas untuk mendapatkan penyokong kita kembali dengan cara yang positif.

"Mereka selalu memberi kami tenaga tambahan dan semoga para pemain memberi alasan kepada para peminat untuk bersorak dan itulah yang harus kami fokuskan. Ini adalah perlawanan besar bagi kami."

Bertemu Fulham akan menyaksikan kehadiran 10,000 penyokong bagi aksi terakhir United di laman sendiri musim ini kerana sekatan coronavirus terus berkurang di United Kingdom.

Kemenangan untuk United akan menjamin tempat kedua di Liga Perdana buat kali kedua sejak Alex Ferguson bersara pada akhir musim 2012-13.