Pengendali Chelsea, Antonio Conte, menyifatkan Eden Hazard masih lagi mampu mempamerkan persembahan terbaik pada masa akan datang.

Hazard kembali menjadi tonggak utama pasukan selepas meledak dua gol buat penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ketika menewaskan Newcastle United 3-1 di Stamford Bridge.

Persembahannya itu hadir tepat pada masa selepas Belgium diundi dengan England bagi saingan Piala Dunia Russia 2018.

Conte mengagumi pemain bintangnya itu yang bersama-sama dengan rakan senegaranya, Thibaut Courtois, turut mempamerkan aksi cemerlang.

"Saya sangat gembira dengan persembahan mereka. Hazard dan Courtois berada pada tahap yang terbaik dan kami mahu memastikan mereka kekal bersama Chelsea," kata Conte.

"Tetapi saya berasakan Hazard masih belum mencapai tahap terbaiknya lagi. Saya berasakan dia masih memiliki ruang untuk mempertingkatkan mutu permainannya.

"Anda hanya akan berada pada tahap terbaik ketika memenangi Ballon d’Or buat kali pertama, memenangi Liga Juara-Juara (UCL) atau menjuarai Piala Dunia. Pada ketika itu, anda adalah seorang pemain hebat," ujarnya.

Rakan sepasukan Hazard, Victor Moses, yang bersama Nigeria bakal bertemu Argentina, Croatia dan Iceland dalam saingan Kumpulan D di Russia, percaya England akan berdepan masalah besar untuk mengekang gerakan penyerang itu.

"Hazard sedang menikmati bola sepak," kata Moses.

"Dia banyak melakukan perkara-perkara yang menakjubkan. Dia turut cemerlang dalam sesi latihan.

"Dia adalah pemain bertaraf dunia. Bagaimana England akan mengekangnya? Ia adalah satu tugas yang sukar," tambahnya.