Kejayaan Manchester City dalam rayuan penggantungan selama dua tahun dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) membuktikan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) tidak lagi relevan, menurut Presiden LaLiga, Javier Tebas.

Februari lalu, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu didakwa melakukan "pelanggaran serius" terhadap peraturan Pelesenan Kelab UEFA dan Fair Play Kewangan (FFP) sebelum mereka dijatuhi penggantungan selama dua musim daripada beraksi di pentas Eropah termausk didenda €30 juta (RM145.3j).

Begitupun, keputusan CAS semalam memihak kepada City yang bermaksud juara liga 2018-19 itu dibenarkan bersaing dalam UCL musim depan, sementara jumlah denda mereka dikurangkan kepada €10j (RM48.4j).

Tebas, yang sekian lama mengkritik pendekatan City dan Paris Saint-Germain (PSG) kerana menganggap mereka merosakkan bola sepak secara berterusan berikutan dibiayai oleh "dana minyak" daripada Timur Tengah dan pada 2017, pernah merujuk situasi seperti itu ibarat "doping kewangan".

Selepas pengumuman CAS itu, Tebas tidak berlengah untuk membidas CAS sambil mempersoalkan apakah mereka masih boleh menjadi organisasi yang dipercayai dalam menilai hal tersebut.

Dia berkata kepada wartawan: "Kami harus menilai kembali apakah CAS adalah badan yang tepat untuk mencabar keputusan institusi dalam bola sepak.

"Switzerland merupakan negara dengan sejarah timbang tara yang hebat, tetapi tindakan CAS tidak menepati dengan statusnya."

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) City, Khaldoon Al Mubarak -- yang pernah membidas Tebas -- mendesak pegawai saingan di Sepanyol itu agar mengimbas semula sejarah LaLiga dan penguasaan dua kelab di sana sebelum memberikan penilaian kepada liga lain.