Premier League mengumumkan pertambahan lapan kes positif COVID-19 daripada dua ujian saringan terbaru mereka, kurang separuh berbanding kes positif yang dikesan dalam kalangan pemain dan staf kelab menerusi ujian saringan seminggu sebelumnya.

Dua ujian saringan dalam tempoh seminggu diwajibkan sejak awal bulan ini berikutan peningkatan kes jangkitan dalam liga itu dan United Kingdom (UK) secara umumnya.

Sebanyak 40 kes positif dikesan di antara 28 Disember dan 3 Januari lalu sebelum pertambahan 36 kes dikesan seminggu kemudian.

Bagaimanapun, jumlah itu menurun kepada 20 kes di antara 11 hingga 17 Januari lalu dan ia kelihatan semakin menurun minggu ini.

Di antara 18 dan 24 Januari lalu, sebanyak 2,518 sampel diambil daripada pemain dan staff pasukan tetapi hanya lapan dikesan positif virus itu.

Premier League, bagaimanapun, tidak mendedahkan maklumat spesifik mengenai mereka yang diuji positif termasuk daripada kelab mana kes positif berkenaan.