Premier League sahkan 16 lagi kes positif COVID-19

Oleh Muzaffar Musa 19 Januari 2021 3752
Premier League sahkan 16 lagi kes positif COVID-19
Premier League mengesahkan 16 lagi kes positif COVID-19 daripada dua ujian saringan terbaru yang dijalankan -- selepas 20 kes positif koronavirus melibatkan pemain dan staff kelab yang terlibat pada minggu sebelumnya.

Disebabkan peningkatan jumlah jangkitan virus itu dalam liga berkenaan dan di United Kingdom (UK) secara umumnya, Premier League telah menjalankan dua ujian dalam tempoh seminggu di antara 4 dan 10 Januari lalu, yang secara keseluruhan telah mengesan 36 kes positif.

Dalam dua ujian saringan yang diadakan di antara 11 dan 17 Januari lalu, terdapat pertambahan 16 kes positif daripada 3,115 sampel yang diambil.

Peratusan jangkitan itu menurun kepada 0.5 peratus berbanding 1.39 peratus dalam ujian saringan seminggu sebelumnya di mana 2,593 sampel diambil.

Setiap kelab telah diberikan panduan daripada Premier League minggu ini dan diingatkan agar mengelakkan "kontak yang tidak sepatutnya" seperti "bersalaman, bertepuk-tampar dan berpelukan" susulan kritikan kerajaan mengenai cara mereka meraikan jaringan.

Perlawanan Aston Villa menentang Tottenham dan Everton tepaksa ditunda berikutan kes positif COVID-19 dalam pasukan itu minggu lalu yang turut memaksa mereka menutup Pusat Latihan Bodymoor Health.

Villa dijangka akan kembali beraksi menentang Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam esok tetapi perlawanan di antara Leeds United dan Southampton pada hari yang sama tidak akan dilangsungkan.

Ia kerana Southampton akan berdepan Shrewsbury Town dalam pusingan ketiga Piala FA memandangkan jadual asal pada awal bulan ini terpaksa ditunda gara-gara jangkitan koronavirus dalam kelab Liga Satu itu, dengan pengurusnya, Steve Cotterill, masih berada di hospital.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen