Paul Pogba tidak keberatan untuk kembali ke Juventus kerana menganggap Itali bagaikan kampung halamannya buat bintang Manchester United itu, menurut ejennya, Mino Raiola.

Pogba -- yang masih menjalani pemulihan ekoran kecederaan buku lali -- telah dikaitkan dengan juara Serie A itu dan gergasi LaLiga, Real Madrid, kerana dilaporkan tidak bahagia di Manchester.

Pemain berusia 26 tahun itu meninggalkan United untuk berpindah ke Juve pada 2012 sebelum kembali ke Old Trafford pada 2016 dengan perpindahan termahal dunia yang bernilai €105 juta (RM471j).

Raiola meletakkan masa depan pemain tengah itu di United dalam keraguan setelah Juventus diikat 10 pemain Milan 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama Coppa Italia, awal pagi tadi.

"Itali seperti kampung halaman buat Paul. Dia tidak keberatan untuk kembali ke Juve tetapi kami akan melihat apa yang akan berlaku selepas saingan Euro 2020," kata Raiola kepada pemberita.

"Paul mahu bermain di peringkat terbaik tetapi dia tidak dapat memisahkan diri daripada Manchester United jika mereka berada dalam situasi yang sukar."

Pogba diselubungi masalah kecederaan apabila hanya tampil dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dan secara keseluruhannya berkesempatan beraksi hanya dalam tujuh perlawanan untuk The Red Devils menduduki tangga kelapan.

United akan bertandang ke pasukan keempat, Chelsea, pada awal pagi Selasa depan sejurus saingan liga kembali bersambung.

Editor: Shaiful Shamsudin