Paul Pogba berkata pemain muda Manchester United harus memanfaatkan kesempatan dalam skuad utama kerana mereka beraksi untuk "kelab terbesar dalam sejarah".

Pertemuan dengan Everton di Old Trafford dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) malam esok bakal menjadi perlawanan ke-4,000 berturut-turut yang menyaksikan The Red Devils menyenaraikan sekurang-kurangnya seorang pemain akademi dalam sesebuah perlawanan.

Catatan itu yang bermula sejak ke 1937, terus dikekalkan menerusi komitmen pengurus, Ole Gunnar Solskjaer, untuk menyuntik pemain muda ke dalam pasukan utama musim ini.

Ketika membelasah AZ 4-0 dalam Liga Europa semalam, mereka menurunkan sembilan pemain muda yang mempunyai latar belakang akademi United, termasuk di barisan simpanan.

Pogba, yang menyertai United sebagai pemain berusia 16 tahun, menggalakkan pemain-pemain muda di bawah asuhan Solskjaer agar tidak meremehkan peluang yang ada.

"Saya sentiasa mengatakan kepada pemain muda yang terpilih untuk menyertai pasukan utama: 'Anda tidak menyedari betapa bertuahnya anda.'

"Malangnya bagi kami, ramai pemain yang cedera dan ia peluang berharga buat mereka beraksi dalam skuad utama," kata pemain tengah tersebut, yang diketepikan ekoran kecederaan pergelangan kaki sejak September lalu, kepada laman sesawang United.

"Mereka mempunyai peluang untuk beraksi dengan baik dan kekal dalam skuad. Jadi saya berkata kepada mereka: 'Rebut tuah dan ambil peluang ini kerana ia detik yang akan menjadi penting sehinggalah pemain-pemain yang lain kembali cergas.'

"Anda tidak akan pernah tahu, mungkin ada pemain yang tercedera dan pemain muda dimasukkan lalu memainkan peranan yang hebat, jadi mereka akan kekal bersama pasukan utama sehingga hujung karier.

"Jadi, saya telah memberitahu mereka: 'Kalian, bersiap sedialah dan sentiasa rebut kesempatan.' Jika mereka mempunyai kualiti bersama dengan skuad utama, mengapa tidak mengambil kesempatan itu dan beraksi dan menikmatinya?

"Mason Greenwood, sejak sesi latihan pertama lagi apabila saya terserempak dengannya dan Brandon Williams, James Garner, Angel Gomes, Chongy Tahith Chong dan Axel Tuanzebe dan semua pemain.

"Namun, saya tidak melihat mereka sebagai pemain muda kerana bagi saya, mereka sudah berada dalam pasukan pertama sejak sekian lama. Begitu juga dengan Tim Fosu-Mensah tetapi pemain yang lebih muda, mereka mempunyai kualiti. Mereka mempunyai segala-galanya untuk berada dalam pasukan utama.

"Mereka telah beraksi dan diberi kesempatan, jadi mereka harus menikmatinya ketika berada di atas padang dan bekerja keras. Mason menjaringkan gol, Brandie telah bermain seperti sudah bersama pasukan ini selama enam bulan. Inilah bukti mengenai kelab ini dan apa yang pengurus inginkan."

Bintang dari Perancis itu, yang masih dikaitkan dengan perpindahan meneruskan: "Saya fikir dan berharap dapat membantu mereka. Ini adalah salah sebuah kelab terbesar di dunia dan mungkin kelab terbesar dalam sejarah dan mereka mempunyai peluang untuk berada di kelab ini. Jadi, saya katakan kepada mereka: 'Rebut peluang yang ada, beraksi, anda masih muda, anda mempunyai kualiti, anda tidak perlu takut.'

"Saya berharap dapat memberikan mereka contoh yang baik apabila saya berada di atas padang dan di luar padang dan walaupun saya tidak melihat diri saya sudah tua. Saya harap pemain muda pada suatu hari kelak, mereka akan mengambil peranan saya (apabila saya sudah bersara). Itulah yang akan berlaku, saya tidak akan beraksi buat selama-lamanya.

"Kami semua memberikan yang terbaik di padang dan saya harap pemain muda ini akan menjadi legenda di kelab ini. Mereka perlu menikmati dan benar-benar menghargai peluang yang ada di sini."

Pogba mengakui ia adalah pengalaman yang menakutkan untuk menyertai kelab itu sebagai pemain remaja pada 2009, iaitu ketika Alex Ferguson menjadi pengurus.

"Apabila saya tiba di sini, semuanya terasa seperti besar!" katanya. "Tempat latihan adalah besar, semua pemain adalah besar, padang itu besar, segala-galanya besar dan mata saya terbeliak sepanjang masa. Kemudian saya menerima seragam buat kali pertama dan saya berkata: 'Wah, saya datang ke Manchester United.' Saya tidak mempercayainya.

"Apabila saya memulakan latihan bersama pasukan utama, saya baru berumur 17 tahun dan saya masih ingat Park Ji-sung dan Vida (Nemanja Vidic) ada di sana. Saya bertembung dengan Vida dan saya lihat betapa keras dan kuatnya dia! Kemudian barulah saya sedar bahawa saya perlu bekerja keras untuk merebut tempat.

"Ia adalah satu pengalaman yang sangat hebat bagi seorang pemain muda untuk ke sini pada usia 16 tahun dan melihat segala-galanya begitu besar, berkesempatan bertemu pemain dan pengurus yang hebat. Untuk berada di tempat latihan itu, ia merupakan impian menjadi kenyataan."